Monday, November 2, 2009

PERBAHASAN Budget 2010 (02-11-09)

Dato Seri’/Dato Yang Di-pertua,

Mukadimah

1 Saya mengucapkan terima kasih diberi peluang untuk membahas Bajet 2010.

Cadangan Bercanggah

2 Terdapat beberapa cadangan dalam bajet ini yang bercanggah dan menyebabkan bajet ini menjadi tanpa haluan (dengan izinnya ‘directionless’).

3 Contoh :

3.1 Cadangan mengenakan cukai perkhidmatan lima puluh ringgit ke atas setiap kad kredit dan dua puluh lima ringgit ke atas setiap kad tambahan akan menggalakkan rakyat membatalkan kad kredit mereka dan dengan itu, mengurangkan perbelanjaan mereka. Ini bercanggah dengan tujuan pakej ransangan ekonomi yang berjumlah enam puluh tujuh billion ringgit kerana dengan pengurangan perbelanjaan, ekonomi tidak akan dapat dipulih.

3.2 Cadangan untuk mengenakan cukai atas keuntungan pelupusan hartanah akan mengurangkan keazaman rakyat untuk menjual rumah yang sediada dan membeli rumah baru. Ini bercanggah dengan tujuan untuk meningkatkan sektor perumahan dan pembinaan.

4 Saya berharap Kerajaan mengkaji semula cadangan-cadangan dalam Bajet ini supaya tidak ada percanggahan dan Kerajaan dapat mengikut satu haluan yang ketara.

Kad Kredit

5 Cadangan untuk mengenakan cukai perkhidmatan ke atas kad kredit harus dikaji semula dengan tujuan untuk dibatalkan.

5.1 Cukai ini telah dicuba pada 1997 dan dimansuhkan pada tahun 2001 kerana tidak dapat mencapai matlamatnya untuk mengurangkan kegunaan kad kredit. Pada 1997, cukai telah diadakan. Pada 1998, jumlah kad turun sebanyak 90,000 tetapi kembali sebanyak 296,000 untuk tahun 1999 dan terus naik selepas itu. Saya bertanya Yang Berhormat Menteri mengapa dengan pengalaman di mana dasar ini telah gagal Kerajaan mencadangkan untuk mengadakan cukai ini.

5.2 Cadangan ini akan membebankan pemegang kad kredit sebab kebanyakan mereka hanya membayar jumlah minima setiap bulan dan tidak dapat membatalkan kad kredit kerana tidak akan mampu menjelaskan jumlah tertunggak sekaligus. Jikalau Kerajaan hendak mengawal pinjaman melalui kad kredit, Kerajaan seharusnya membuat peraturan ke atas bank-bank dan syarikat kad kredit tentang jumlah yang boleh dipinjam atau kelayakan kegunaan dan bukan membebankan pengguna dengan caj RM50 ini.

5.3 Cadangan ini tidak mengambilkira bahawa seseorang memerlukan lebih daripada satu kad kredit kerana kad kredit telah menjadi satu keperluan dalam zaman moden dengan masyarakat ‘tanpa menggunakan wang tunai’ dengan izinnya, ‘cashless society’. Pembayaran dengan cara elektronik sudah menjadi medium pembayaran biasa.

5.3.1 Tanpa kad kredit seseorang tidak akan mendapat menempah hotel di negara seperti Amerika Syarikat dan Europa kerana mereka beramalkan sistem tanpa wang tunai.

5.3.2 Pembayaran di laman web adalah dengan kad kredit.

5.3.3 Kegunaan kad kredit telah lama dianggap sebagai cara kehidupan moden. Ini telah dimaklumkan oleh Time Magazine sejak September 22, 1958. Jikalau negara kami tidak menggalakkan kegunaan kad kredit, ini bermakna masyarakat kami berundur ke zaman dahulu:

5.3.3.1 Di mana penduduk kami hendak berulang alik dengan beg penuh berisi wang tunai seperti seorang bekas Menteri Besar dahulu yang mengangkut beg penuh dengan wang tunai ke Australia; dan

5.3.3.2 Baru-baru ini seorang wakil dari Sabah telah ditahan oleh ICAC Hong Kong dengan beg berisi wang tunai sebanyak enambelas juta ringgit.

Pembayaran dengan kad kredit lebih selamat berbanding dengan kewajipan membawa wang tunai, orang biasa mungkin tidak akan ditahan oleh polis Australia seperti bekas Menteri Besar atau ditahan oleh ICAC Hong Kong seperti wakil Sabah, tetapi orang biasa akan ditahan dan dirompak oleh penyamun memandangkan keadaan yang kurang selamat di dalam Negara kita ini.

5.3.4 Mengikut laporan Bank Negara Malaysia bertajuk “Financial Stability and Payment Systems Report 2008”, pinjaman bermasalah (NPL) untuk pinjaman rumah, kereta dan kad kredit hanya meningkat dari 0.1% kepada 4.2% dan tidak merupakan sesuatu perkara yang merunsingkan. Kadar ini dibawah kadar NPL untuk sektor bank komersil berjumlah 4.4%.

Mengikut dasar Bank Negara Malaysia, semenjak tahun 2006, transaksi kegunaan kad kredit lebih daripada jumlah kegunaan cek sebagai medium pembayaran. Mengapa kita hendak undur kepada pembayaran secara lama?

5.4 Saya meminta Kerajaan memberikan statistiks untuk menunjukkan bahawa kegunaan kad kredit telah menjadi satu masalah yang begitu besar yang mewajibkan satu pemulihan dengan mengenakan caj cukai perkhidmatan.

5.5 Saya juga meminta Yang Berhormat Menteri-menteri menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan memberi deklarasi bahawa mereka akan membatalkan kad-kad kredit mereka.

RPGT

6 Cadangan cukai 5% ke atas keuntungan pelupusan hartanah hendaklah dibatalkan.

6.1 Cadangan ini tidak wajar diadakan dalam keadaan kemelesatan ekonomi yang masih dialami di Negara ini.

6.2 Cukai ke atas keuntungan pelupusan hartanah diadakan untuk tujuan mengawal harga spekulasi perumahan semasa ekonomi berkembang pesat.

6.3 Cukai ini telah dimansuhkan sejak 1 April 2007 dan tidak harus dikuatkuasakan semula kerana keadaan ekonomi masih belum pulih.

6.3 Cadangan cukai ini akan menyukarkan rakyat kerana cukai ini dikenakan tanpa masa terhad. Kadar cukai RPGT dahulu mengurangkan secara berperingkat mengikut tempoh jualan dan tiada cukai dikenakan selepas tahun kelima. Cadangan baru adalah lebih menyusahkan rakyat dan tidak adil.

MENINGKATKAN PELABURAN SWASTA

7 Cadangan dan strategi untuk meningkatkan pelaburan swasta tidak begitu menyakinkan kerana kelemahan-kelemahan Negara kita yang dibentangkan dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi 2009-2010 tidak diutarakan dalam Bajet ini.

7.1 Rangking daya saing global Malaysia jatuh tiga takuk ke kedudukan ke-24;

7.2 Kerajaan seharusnya meneliti dengan serius syor-syor yang dicadangkan oleh World Economic Forum untuk meningkatkan daya persaingan negara kita dengan memperkukuhkan dua belas jenis penilaian dimensi persaingan tersebut.

7.3 Saya meminta Yang Berhormat Menteri memberi penjelasan tentang tindakan yang dirancangkan untuk membetulkan kelemahan setiap dua belas penilaian dimensi atau dengan izinnya, “The Twelve Pillars of Competitiveness”.

INSTITUSI KEHAKIMAN

8 Salah satu kelemahan penting yang menjejaskan daya persaingan negara kita ialah kelemahan institusi kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

8.1 Peristiwa kes politik seperti perintah membubarkan UMNO sehingga mewujudkan UMNO Baru dan Semangat 46 mengakibatkan orang awam semakin hilang keyakinan terhadap kehakiman.

8.2 Peristiwa kes pemecatan Ketua Hakim Tun Salleh Abbas dan lima hakim yang lain juga adalah satu punca kekurangan keyakinan terhadap institusi kehakiman. Pembayaran ex-gratia kepada hakim-hakim baru ini hanya membetulkan kes peribadi hakim-hakim tersebut. Sehingga hari ini, kerosakan kepada institusi kehakiman belum dipulihkan.

8.3 Keputusan kes Dewan Undangan Perak yang mana hakim tidak mengikut Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan yang begitu ketara juga menimbulkan satu persepsi kepada orang awam bahawa kegagalan kehakiman untuk memberi penghakiman mengikut kedaulatan undang-undang.

8.4 Keputusan Peguam Negara dalam enggan mendakwa mereka yang telah didapati melanggar undang-undang dan melakukan jenayah oleh Suruhanjaya Diraja dalam video V K Lingam juga telah memusnahkan keyakinan rakyat terhadap institusi undang-undang.

9 Cadangan untuk membina lebih bangunan Mahkamah tidak akan dapat menangani masalah. Ini adalah seperti seorang yang tidak tahu menari menyalahkan lantai. Masalah kekurangan keyakinan terhadap institusi kehakiman bukan kerana bangunan Mahkamah rosak tetapi hakim-hakim tertentu yang rosak.

10 Untuk memulihkan keadaan, mereka yang didapati membuat penghakiman dengan tidak mengikut prinsip undang-undang yang ketara hendaklah dipecat dan mereka yang telah melakukan kesalahan hendaklah disiasat, diheret ke Mahkamah dan diberikan hukuman sewajarnya.

11 Akhirnya, saya mencadang bajet ditambah kepada pihak Kehakiman supaya gaji-gaji dinaikkan sehingga taraf yang dapat mempelawa peguam-peguam yang berpengalaman tinggi, berwibawa, yang bijaksana dan berpegang teguh pada keadilan dan kebebasan fikiran untuk menjadi hakim.

MALAYSIAN RESOURCE CURSE / KUTUKAN SUMBER DAYA ALAM MALAYSIA

12 Salah satu lagi kelemahan daya persaingan Negara kita adalah kerana negara kita dijangkiti Penyakit Belanda atau dengan izinnya, “Dutch Resource Disease”.

13 Pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah disebabkan perbelanjaan sektor awam yang besar sehingga 27% KDNK. Ini adalah terbesar di rantau Asia. Ini adalah sebab Kerajaan mendapatkan pendapatan besar sejumlah 40% daripada minyak Petronas.

14 Kemudahan sumber minyak ini mewujudkan sikap pembaziran dan leka (complacent) sehingga kebanyakan projek kerajaan mengalami kerugian yang besar dan tidak mencapai matlamat untuk memberi manfaat kepada sasaran, terutamanya, matlamat untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup kaum bumiputra.

15 Kesan buruk kutukan sumber daya alam juga mewujudkan masalah rasuah dan dengan izinnya, “rent-seeking behavior” di mana hanya individu-individu tertentu dapat menikmati keuntungan besar manakala golongan miskin bertambah miskin.

16 Cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah mewujudkan satu dana Petroleum supaya hasil keuntungan daripada Petronas dilaburkan semula untuk memberi satu pulangan kekal/berlanjutan seperti “Government Pension Fund” di Norway, “Stabilization Fund of the Russian Federation” atau “State Oil Fund of Azerbaijan” atau “the Future Generations Fund” di Kuwait yang diperbadankan sejak 1976.

17 Saya meminta Menteri memberikan penjelasan mengapa Malaysia tidak mewujudkan dana seperti ini yang telah dinasihatkan antaranya, oleh IMF dan WorldBank dan diamalkan oleh Kerajaan negara yang berperihatin kepada kehidupan masa hadapan rakyat.

PENGAJIAN TINGGI

18 Pada masa ini, Malaysia mempunyai kadar pengangguran graduan yang tertinggi daripada 15.2% di tahun 2000 kepada 25.1% di tahun 2007. 42% pengusaha Malaysia menyatakan bahawa kekurangan tenaga kerja berkemahiran adalah sekatan perniagaan yang paling utama, berbanding dengan kadar 37% di Asia Timur dan 35% di dunia. Ini bermakna negara kita mengalami dua kelemahan iaitu, kekurangan pekerja yang berkemahiran dan kemahiran yang tidak seimbang dengan keperluan industri.

19 Saya merujuk kepada laporan yang telah disediakan oleh World Bank bersama dengan Kerajaan Malaysia bertajuk “Malaysia and the Knowledge Economy Building a World Class Higher Education System” yang diterbitkan dalam bulan Mac 2007.

20 Mengikut laporan ini, IPTA ada beberapa factor kelemahan dalam prospek pembangunan dan beberapa syor-syor telah diberikan seperti berikut:

(a) IPTA seharusnya diberi keupayaan untuk memilih pelajar yang terbaik dan bukan dipilih oleh pusat;

(b) Kuasa untuk menawarkan gaji dan pakej yang menarik kepada pensyarah-pensyarah yang terbaik di dunia berbanding pakej yang sedia ada yang kurang memuaskan;

(c) Kuasa untuk memilih para pemimpin universiti yang berkualiti berdasarkan proses carian terbuka yang dipimpin oleh Majlis Universiti, iaitu, rektor dan dekan dan bukannnya dilantik oleh Kerajaan.

21 Saya meminta penjelasan daripada kerajaan mengapa selepas dua tahun daripada tarikh laporan World Bank ini, Kerajaan belum mengambil tindakan untuk melaksanakan syor-syor yang telah dicadangkan.

LAPORAN KETUA AUDIT

22 Saya merujuk kepada laporan Ketua Audit di mana beliau telah membentangkan peristiwa pembaziran wang dan kemungkinan kes penyelewengan yang melibatkan beribu-ribu juta wang rakyat.

23 Di antara kes-kes yang dibentangkan adalah projek landasan berkembar elektrik antara Rawang dan Ipoh. Sejumlah RM4.34 bilion diperuntukkan untuk projek ini dan dilaksanakan melalui dua pakej, iaitu, pakej infrastruktur oleh DRB-Hicom dan pakej sistem oleh Mitsui-MTS Konsortium. Selain daripada kerugian tinggi yang hendak ditanggung oleh Kerajaan sebanyak RM1.14 bilion, objektif projek ini untuk mengadakan keretapi kelajuan 160 km sejam dengan mengadakan 16 trip sehari kemudiannya ditambahkan ke 32 trip sehari tidak dapat dicapai.

24 Objektif projek yang membelanjakan wang yang banyak untuk membina landasan elektrik ini tidak dapat dicapai kerana KTMB masih menggunakan tren disel dan bukan tren elektrik.

25 Saya meminta Yang Berhormat Menteri memberikan jawapan mengapa Kerajaan tidak membeli tren elektrik walaupun membelanjakan wang yang banyak untuk mengadakan landasan elektrik.

KEBUDAYAAN PEMBAZIRAN

26 Tiap-tiap Tahun, Jabatan Audit Negara membentangkan pembaziran yang bukan sahaja mengecewakan tetapi menyakitkan hati semua rakyat.

27 Walaupun kesalahan-kesalahan ini didedahkan setiap tahun, masalah ini masih berlanjutan dan jumlah pembaziran wang semakin meningkat.

28 Saya meminta penjelasan daripada setiap Menteri di mana pembaziran telah dilaporkan dan tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

29 Saya mendapati perkara ini berlanjutan kerana tidak adanya sikap bertanggungjawab atau dengan izinnya, ‘accountability’.

30 Di Australia, baru-baru ini Menteri Pertahanan, Joel Fitzgibbon meletakkan jawatan apabila berita didedahkan bahawa beliau menggunakan pengaruh untuk memihak adiknya. Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd memaklumkan ia adalah penting untuk kerajaannya mengekalkan standard akauntabiliti yang tinggi dan kesalahan dalam perihal akauntabiliti yang tinggi dan oleh itu, Menteri tersebut terpaksa meletak jawatan.

31 Di Korea Selatan pula, bekas Presiden Roh Moh-hyun membunuh diri selepas tuduhan rasuah telah dikemukakan. Beliau mempaparkan perasaan malu kerana merasa tidak boleh bersemuka dengan rakyat kerana telah mengecewakan rakyat dengan tindakan rasuahnya. Tindakan ini seperti tindakan Menteri Australia menunjukkan para pemimpin-pemimpin negara berpegang teguh kepada standard akauntabiliti yang tinggi.

32 Sekiranya kita serius untuk menangani rasuah dan kebudayaan pembaziran oleh kakitangan Kerajaan, kita harus mengikut contoh standard yang diamalkan di negara-negara seperti yang dikatakan. Sebenarnya, kebudayaan kita adalah sama seperti yang ditunjukkan oleh Kevin Rudd dan bekas Presiden Korea kerana kita bah kata pepatah “kalau kepala ikan sudah busuk, ekor pun jadi ikut membusuk”.

33 Jangan kita mengadakan hidung seperti tukang ikan di pasar sehingga bau busuk menjadi kebiasaan. Kita tahu bau busuknya tetapi kita tidak melakukan apa-apa terhadap hal itu sehingga kita sudah mengganggap hal tersebut telah menjadi hal yang biasa.

KESIMPULAN

34 Kita harap pemimpin-pemimpin Kerajaan menunjukkan mereka tidak berhidung seperti tukang ikan di pasar dan mengambil tindakan dengan segera untuk membetulkan keadaan yang rumit ini dan membersihkan bau busuk yang mencemari Negara kita.



Sekian terima kasih.



William Leong Jee Keen
Ahli Parlimen Selayang

Tarikh: 2 November 2009

http://williamleongjeekeen.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment