Wednesday, January 27, 2010

Kenyataan Akhbar: Kepala babi dilontar dalam perkarangan dua masjid

Kenyataan Akhbar

Parti Keadilan Rakyat mengutuk keras tindakan pihak yang membalingkan kepala babi kedalam perkarangan dua buah masjid di Jalan Klang Lama pagi ini.

Dua buah masjid tersebut adalah Masjid Jumhuriyah di Taman Datuk Harun dan Masjid Al-Imam Al-Tarmizi di Taman Seri Sentosa.

Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini merupakan satu lagi percubaan pihak tertentu untuk mewujudkan suasana bermusuhan dalam masyarakat majmuk di negara ini ekoran siri serangan dan vandalisme ke atas gereja dan kuil sikh dua minggu lalu.

KEADILAN yakin bahawa seluruh warga Malaysia yang sayangkan keamanan tidak akan bersetuju dengan mana-mana pihak yang cuba menyerang tempat beribadat, baik gereja, kuil sikh mahupun masjid.

Kami menyeru agar pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan profesional dalam perkara ini supaya mereka yang terbabit dalam tindakan bertanggungjawab ini dihadapkan ke muka pengadilan.


William Leong Jee Keen
Ahli Parlimen Selayang

Tuesday, January 5, 2010

Jangan ambil alih Bukit Botak!


SELAYANG BARU – Keputusan Kerajaan Negeri mengambil alih tanah Bukit Botak mendapat tentangan hebat penduduk yang terbabit.

Sambil menganggap keputusan Menteri Besar (MB), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sebagai satu kesilapan, satu demonstrasi membantah keputusan berkenaan dibuat oleh penduduk terbabit, semalam.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menegaskan, pihaknya bersama penduduk telah menetapkan pendirian membantah dan menyifatkan keputusan MB mengambil alih tanah bagi menyelesaikan isu berkenaan kerana tidak menerima maklumat lengkap.

“Keputusan mengambil tanah Bukit Botak oleh Kerajaan Negeri adalah satu kesilapan. Kita percaya MB telah menerima mak- lumat yang salah daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Pejabat Tanah Gombak.

“Sedangkan sebanyak 1,000 borang persetujuan telah diserahkan kepada pihak MB pada 21 Novem-ber lalu iaitu dokumen ditandatangani penduduk supaya geran tanah dan projek perumahan mereka diteruskan,” katanya.

William berkata demikian ketika ditemui wartawan dalam bantahan penduduk di kawasan perumahan Selayang Mutiara, yang diduduki 82 penduduk bekas Setinggan Bukit Botak (SBB).

Menurutnya, tanah perlu diserahkan kepada penduduk SSB dan mereka sendiri boleh menentukan agar penempatan diteruskan supaya masalah lebih 23 tahun lalu tidak berlarutan lebih lama.

“Lagipun punca projek SBB terbengkalai bukan disebabkan penduduk. Mengapa penduduk pula perlu menjadi mangsa dengan Kerajaan Negeri hendak mengambil alih tanah mereka.

“Lebih 1,010 penduduk telah menjelaskan premium tanah sejak geran dikeluarkan pada 2005. Di sini saya lihat pihak yang patut di-persalahkan adalah pemaju yang gagal menyiapkan projek,” kata William.

Menurutnya, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kegagalan projek SBB adalah syarikat Shah Alam Properties Sdn Bhd (SAP), Delpuri Corporation Sdn Bhd dan PKNS.

Mengulas kerugian yang dikatakan bakal dihadapi PKNS sehingga RM136 juta jika meneruskan projek SBB, menurut William kenyataan berkenaan amat dicurigai.

“Kita amat curiga kerana saya difahamkan, jika syarikat Delpuri meneruskan projek, kos digunakan hanya RM70 juta, sedangkan kos diperlukan PKNS sehingga RM300 juta.

“PKNS kata sudah membelanjakan sehingga RM48 juta untuk menyiapkan projek SBB, sedangkan sehingga kini hanya 88 unit rumah baru disiapkan dan yang lain-lain hanya baru jalankan kerja tanah,” katanya.

William berkata, untuk itu pihaknya akan menyiasat mereka yang bertanggungjawab ‘memainkan peranan’ dalam hal ini dan akan membuat laporan polis serta me- minta Suruhanjaya Pence-gah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.

Menurutnya, sekiranya proses pengambilan tanah masih hendak diteruskan, pihaknya akan mengambil injunksi mahkamah untuk menghalang tindakan terbabit dan akan menyaman mereka yang telah mengaut keuntungan tidak sepatutnya dalam hal ini.

Jawatankuasa Penempatan Semula Setinggan Bukit Botak (JPSSBB) mohon MB teliti dokumen


SELAYANG BARU – Jawatankuasa Penempatan Semula Setinggan Bukit Botak (JPSSBB) berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertimbangkan keputusan Kerajaan Negeri mengambil alih tanah Bukit Botak.

Setiausahanya, Fauzan Abdul Kadir berkata, pihaknya berharap MB dapat meneliti dokumen pada Kerajaan Negeri terdahulu dalam membuat pertimbangan berkenaan.

Menurutnya, selain pihak Pejabat Tanah Daerah Gombak, dokumen berkaitan boleh dirujuk dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Delpuri Corporation Sdn Bhd, iaitu pemaju projek penempatan Setinggan Bukit Botak (SBB) sebelum ini.

“Malah, jawatankuasa juga mempunyai dokumen berkaitan mengapa projek ini perlu diteruskan dengan persetujuan majoriti penduduk sebab kita tidak mahu isu SBB dipolitikkan.

“Untuk itu, kita juga menyarankan agar MB turun padang dan lihat apa sebenarnya berlaku di Bukit Botak seterusnya berbincang dengan jawatankuasa dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jeen Keen untuk mendapat maklumat tepat,” kata Fauzan.

Beliau berkata, pihaknya berpendapat MB mendapat informasi kurang tepat, sedangkan dalam kenyataan akhbar oleh William serta peguam JPSSBB, R Mohanar berdasarkan fakta, projek itu wajar diteruskan.

Fauzan berkata, antara dokumen disimpan JPSSBB ialah persetujuan PKNS menyelesaikan projek secara sukarela dengan harga rumah antara RM40,000 hingga RM80,000, memberikan sewa rumah termasuk subsidi RM140 juta untuk projek.

“Selain subsidi yang belum diberi, PKNS juga ingkar janji kepada penduduk Selayang Mutiara. Perjanjian sepatutnya ditandatangani antara penduduk dengan PKNS, tetapi tidak dilakukan.

“JPSSBB ragu bagaimana PKNS boleh membelanjakan wang rakyat hingga RM48 juta hanya untuk projek 88 unit rumah, sedangkan anggaran projek oleh pihak berkenaan, kos itu sepatutnya tidak sampai RM20 juta,” katanya.

Menurut Fauzan, dipertikaikan lagi jawatankuasanya berikutan dakwaan kerugian sebanyak RM136 juta akan ditanggung PKNS sekiranya projek SBB diteruskan.

Menurutnya, selain JPSSBB, William turut mempertikaikan kos meneruskan projek tidak melebihi RM70 juta seperti dimaklumkan Delpuri yang masih mempunyai kontrak di SBB hingga 2010.

“Penduduk tidak mahu jadi mangsa kegagalan pihak pejabat tanah dan PKNS. Lagipun, kita telah lantik kontraktor berkemampuan untuk menyelesaikan projek.

“Jadi kita harap supaya tanah tidak diambil alih dan diserahkan semula kepada penduduk supaya projek penempatan semula ini dapat disiapkan segera dalam masa dua tahun,” kata Fauzan.

Sinar Harian
5 Januari 2010
http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story6326165.asp

Exco Selangor Iskandar Abdul Samad: Bukit Botak - 363 Akan Hilang Hak Jika Tanah Tidak Diambil Alih

363 bekas peneroka bandar Bukit Botak akan dinafikan hak jika Kerajaan Negeri Selangor tidak melakukan pengambilan tanah.
Kerajaan Barisan Nasional yang lepas telah memberi tanah kepada 1,367 peneroka bandar Bukit Botak sebagai sebahagian dari program menyelesaikan masalah setinggan di kawasan tersebut.

“257 PENEROKA DIBERIKAN TANAH YANG TIDAK DAPAT DIBANGUNKAN”
Walau bagaimanapun, 257 peneroka telah mendapati tanah mereka tidak dapat dibangunkan kerana terletak di kawasan cerun, di bawah talian TNB, di dalam rizab sekolah atau rizab-rizab yang lain.

“106 PENEROKA TERSINGKIR”
Selain dari itu, Jawatankuasa Pemutihan Bukit Botak yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sekarang telah mendapati seramai 106 peneroka yang sepatutnya layak mendapat hak tetapi telah tersingkir. Jawatankuasa tersebut telah mendapati ada di antara mereka yang berada di dalam senarai bancian asal tetapi mereka telah tidak mendapat sebarang tawaran dari kerajaan negeri ketika itu.

“AKAN DIBANGUNKAN DENGAN PEMBANGUNAN YANG AKAN DAPAT MENEMPATKAN SEMUA YANG LAYAK”
Kerajaan bukan hendak mengambil tanah rakyat sesuka hati tetapi ianya perlu dilakukan untuk memastikan tidak ada peneroka yang dizalimi. Kawasan Bukit Botak akan dibangunkan dengan pembangunan yang akan dapat menempatkan kesemua yang layak. Bekas peneroka yang tanah mereka diambil alih tidak perlu bimbang.

“BERPELUANG MEMBELI HARTANAH DENGAN NILAI YANG LEBIH TINGGI DI BAWAH HARGA PASARAN”
Menurut perjanjian dengan pemaju swasta sebelum ini, peneroka akan berpeluang membeli rumah berkembar tetapi kerajaan negeri sekarang akan memastikan mereka berpeluang membeli hartanah yang mempunyai nilai yang lebih tinggi tetapi di bawah harga pasaran.

“PAMPASAN AKAN DIBAYAR DAN BERPELUANG MEMILIKI KEDIAMAN YANG LEBIH LUAS”
Kerajaan akan membayar pampasan untuk tanah yang diambil alih dan pemilik tanah juga akan berpeluang memiliki kediaman yang lebih luas dari yang dijanjikan sebelum ini dengan harga potongan.

“SELAMA 20 TAHUN BARISAN NASIONAL GAGAL SELESAIKAN MASALAH”
Saya hairan kenapa pemimpin Barisan Nasional dengan tiba-tiba mengambil berat akan kebajikan bekas peneroka bandar Bukit Botak kerana selama 20 tahun mereka telah gagal menyelesaikan masalah tersebut.
Kerajaan Barisan Nasional yang lepas juga bertanggung jawab di atas kesulitan penduduk kerana mereka yang membuat kesilapan memberi tanah yang tidak boleh dibangunkan kepada 257 peneroka.
Mereka juga telah gagal memberikan hak kepada semua bekas peneroka kerana terdapat ramai yang tercicir dan tidak mendapat apa-apa tawaran.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan
Negeri Selangor
5 Januari 2010

PEJABAT DATO 'MENTERI BESAR SELANGOR: PENDUDUK BUKIT BOTAK AKAN DAPAT SEMULA HAK MEREKA

Kerajaan Selangor tidak berniat untuk menyangkal hak penduduk Bukit Botak dan ingin menyelesaikan masalah yang menghantui mereka selama 20 tahun dengan secepat mungkin.

Bagi menjamin hak sama rata semua penduduk Bukit Botak, Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk mengambil alih tanah Bukit Botak kerana ia akan melepaskan penduduk daripada perjanjian kontraktor yang telah mereka sertai bersama Delpuri Corporation Sdn Bhd (DCSB) yang sehingga sekarang gagal memajukan Bukit Botak.

Perlu diingatkan bahawa perjanjian kontraktor tersebut telah menghalang Kerajaan Negeri daripada menerajui pembangunan perumahan untuk penduduk Bukit Botak. Tanpa perjanjian tersebut, Kerajaan Negeri akan dapat duduk bersama penduduk dalam merancang pembangunan perumahan.

"Pengambilalihan tanah itu akan sekaligus membatalkan perjanjian kontraktor . Ia tidak akan merampas hak penduduk. Sebaliknya, ia akan membantu Kerajaan Negeri mengembalikan hak mereka yang selama ini berada ditangan Delpuri,” kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini.

Keputusan tersebut juga akan memastikan perbelanjaan RM45 juta untuk pembangunan infrastruktur di Bukit Botak menjadi sebahagian daripada kos pembinaan rumah yang akan dibina kelak dan secara langsung mengawal harga rumah agar tidak terlalu mahal.

Pengambilalihan itu juga akan menyelesaikan masalah 270 penduduk asal Bukit Botak yang tidak mempunyai hak milik tanah.

Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pemilik tanah untuk menjelaskan keputusan dan rancangan pembangunan. Tarikh perjumpaan tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.

Kerajaan Negeri berharap penduduk bertenang agar tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, terutamanya mereka yang akan terjejas akibat pengambilalihan tanah.

"Kami sedar bahawa ada pihak tertentu sedang berusaha menghasut penduduk supaya menentang pengambilalihan kerana mereka akan kerugian jika ianya berlaku. Ada juga yang cuba mengambil alih pembinaan rumah. Tapi kami tidak mahu penduduk ditipu lagi,” kata Menteri Besar.

Masalah Bukit Botak adalah berpunca dari keputusan yang tidak telus oleh pentadbir yang terdahulu dan adalah penting bagi Kerajaan Negeri untuk mencari penyelesaian yang adil, praktikal dan pemilihan kontraktor secara telus dan bertanggungjawab.


KENYATAAN AKHBAR
4 JANUARI 2010


SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO 'MENTERI BESAR SELANGOR

Dr. Muhd Nur Manuty - PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH"

Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan “over react” dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Maka itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:
"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah.

"Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).

Sekian. Terima kasih.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
22 November 2009