KENYATAAN MEDIA
PIMPINAN PAKATAN RAKYAT
4 MAC 2013
Setiap pimpinan mana-mana negara
sekalipun bertanggungjawab mempertahan kedaulatan wilayah negara,
keselamatan rakyat dan anggota pasukan keselamatan.
Kegagalan mempertahankan kedaulatan
negara dan keselamatan rakyat merupakan satu pengkhianatan serta menodai
amanah rakyat. Justeru Pakatan Rakyat berhasrat mengingatkan pimpinan
negara agar tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara dan tidak
alpa memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah
ekoran dari insiden pencerobohan sekumpulan bersenjata warga asing di
sekitar Lahad Datu serta Semporna. Setiap inci tanah Sabah dan
keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan.
Pencerobohan di Lahad Datu telah
mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala insiden terbaru di
Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara. Kita merakamkan
ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah serta berdoa moga
roh mereka dicucuri rahmat.
Pakatan Rakyat juga mengajak seluruh
rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, samada
dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat
serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman
penceroboh.
Pakatan Rakyat sedar keadaan mutakhir di
Sabah sememangnya menimbulkan kebimbangan, akan tetapi kita menyeru
agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan
terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh
menimbulkan keresahan. Pakatan Rakyat ingin menyatakan dengan jelas
keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan
keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional
sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campurtangan
politik.
Sehingga kini, kita merasa kesal dan
kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan
dan iltizam dalam menyelesaikan masalah ini. Pimpinan negara juga gagal
menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan
terhadap apa yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin
tersebar luas.
Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini
tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara
memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan
pandangan rakyat dari kelemahan mereka. Sewajarnya mereka menyedari,
keutamaan adalah demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan
rakyat dan perwira negara yang bertungkus lumus di perbatasan.
Pakatan Rakyat menuntut agar segera
diadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan
ini serta demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus
di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan satu persidangan meja bulat di
antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan dalam usaha
untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini.
YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum KEADILAN
YB DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG
Setiausaha Agung PAS
YB LIM KIT SIANG
Penasihat DAP
No comments:
Post a Comment