Monday, March 9, 2015

Apa yang boleh saya lakukan untuk bebaskan Anwar? - William Leong

Apa yang boleh saya lakukan untuk bebaskan Anwar?

Malam ini malam ke-28 Anwar Ibrahim, yang menjadi tahanan politik di Penjara Sungai Buloh, tidur dihurungi nyamuk di atas lantai dingin dan keras dengan sakit tulang belakang yang dialaminya dan beliau akan berkeadaan begitu untuk 5 tahun lagi. Seperti Prometheus, Anwar dihukum kerana memberi api Harapan kepada rakyat Malaysia, membuka mata kepada Kebenaran dan membebaskan minda dari Prasangka. Mereka memenjarakan Anwar kerana takut kalah dalam pilihanraya akan datang. Tetapi semangat dan matlamat kita akan akan mendorong kita ke arah kemenangan.  Walaubagaimanapun, kita mesti bekerja keras.

4 Cabaran
Anwar mendedikasikan dirinya berjuang menentang kezaliman, korupsi, ketidaksamarataan dan ketidakadilan. Masalah kita bukan berasaskan perkauman. Masalahnya ialah masalah Malaysia. Hanya apabila kita juga berfikir dan bertindak sebagai rakyat Malaysia barulah kita dapat menyelesaikan masalah itu. Tetapi, ada golongan tertentu yang tidak mahu menyelesaikannya. Mereka mengasing-asingkan kita. Orang muda disuruh berkorban untuk kaum sendiri supaya mereka mendapat manfaat dari jurang minda dan perkauman yang ditanam.

Demi masa depan, kita perlu menangani cabaran besar dan kita harus bersedia. Isu-isu seperti ketidaktelusan pilihanraya termasuk persempadanan dan pengundi, akses dan eksploitasi media, tahanan aktivis dan pemimpin dari parti pembangkang, halangan untuk mengadakan perhimpunan adalah antara cabaran tersebut. Pada masa yang sama, kita juga berhadapan dengan mereka yang menghina kaum dan agama lain serta mencetuskan kebimbangan dan keresahan tetapi dibiarkan begitu sahaja oleh pihak berkuasa. Untuk mencapai kemenangan, kita memerlukan mobilisasi yang kuat, kerjasama, kepakaran dan semangat kewiraan yang luar biasa yang lebih dari sistem demokrasi yang biasa. Tetapi kita perlu terlebih dahulu menangani 4 cabaran.

Cabaran 1: Memupuk Kesedaran Politik Dalam Kalangan Pengguna Media Sosial
Internet telah terbukti berupaya menumbangkan rejim diktator seperti kebangkitan dunia Arab, Revolusi Jingga di Ukraine dan Revolusi Ros di Georgia. Media sosial menjadi alat yang paling penting bagi menentang rejim otoritarian tetapi hanya berkesan jika wujud kesedaran politik dalam kalangan pengguna internet. Biarpun di dunia internet, perubahan politik sukar berlaku tanpa penyebaran dan penyemaian idea berkenaan. Untuk memenangi hati dan minda mereka, akses kepada maklumat tidaklah sepenting akses kepada komunikasi. Minda seseorang berubah apabila sahabat, ahli keluarga dan rakan sekerja berkongsi dan menyetujui pandangan politik tertentu. Kita tidak boleh mengandaikan perbuatan mereka yang klik "suka" atas laman media sosial sebagai membantu dalam membawa perubahan politik. Memberi pendapat dan berkongsi pandangan seseorang adalah lebih berkesan. Menurut Steve Jobs "Kepercayaan itu bukan bersandar pada teknologi. Kepercayaan itu bersandar pada manusia."

Biarkan Orang Awam Meneliti Penghakiman Secara Menyeluruh
Sebelum hakim Mahkamah Persekutuan habis membaca alasan penghakiman dan menjatuhkan hukuman lagi, perang media sosial sudahpun bermula. Mereka cuba menapis, mengecam dan menyebar maklumat palsu kerana mereka tahu alasan yang diberikan nampak lemah jika diteliti. Malah, kini Ketua Polis Negara sedang memerhatikan anda melalui Facebook dan Twittter dan menyiasat ahli-ahli Parlimen yang memberi komen mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan di laman media sosial. Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria, dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi amaran kepada para peguam dan orang awam supaya tidak mengkritik sistem kehakiman atas alasan ia akan mengikis keyakinan awam terhadap pentadbiran kehakiman.. Shafee Abdullah mahukan Christopher Leong and Ambiga Sreenevasan, iaitu mantan Presiden dan Presiden Majlis Peguam didakwa kerana komen mereka dianggap menghina mahkamah. Tetapi pada masa yang sama Shafee Abdullah dan pemuda UMNO ke sana sini berforum dan berseminar untuk menegakkan benang yang basah dan menyerang Anwar yang tidak dapat mempertahankan diri sendiri.

Bagi saya, kritikan haruslah diteruskan agar ketidakadilan dapat diperbetulkan dan keyakinan awam terhadap pentadbiran kehakiman dapat dikembalikan. Biarpun mereka berkuasa untuk menakutkan kita dan menyembunyikan kebenaran di dalam negara, tetapi mereka tiada kuasa dan tidak dapat menghalang kebenaran daripada didedahkan di luar negara. Pemerintah-pemerintah Amerika Syarikat, British, Australia, Kanada, New Zealand, Jerman, Switzerland, Kesatuan Eropah dan banyak lagi negara lain mengkritik keputusan mahkamah dalam masa yang singkat dan telah menghantar pemerhati untuk hadir dalam pembicaraan kes Anwar. Mereka semua merumuskan bahawa Anwar tidak sepatutnya didakwa, dan tentu sekali tidak wajar diputuskan bersalah. Begitu juga, pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa yang mempunyai kredibiliti seperti  Amnesty International, Human Rights Watch dan Federasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia  juga menyatakan yang sama. Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) dan Persatuan Antara Parlimen-Parlimen (IPU). Peguam Diraja Australia Mark Trowell, yang juga mewakili Persatuan Antara Parlimen-Parlimen, LAWASIA dan Majlis Peguam Australia berpendapat, keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat dalam keadaan kekurangan analisis fakta secara menyeluruh dan mahkamah telah menolak atau mengabaikan bukti yang dapat membangkitkan keraguan serius mengenai kesahihan bukti dan kredibiliti pengadu.

Apabila orang baik tidak berbuat apa-apa, kejahatan akan bermaharajalela. Kita bersekongkol dengan ketidakadilan jika kita berdiam diri dalam kes Anwar. Tidak ada penghinaan Mahkamah jika penghakiman dikritik dengan niat yang baik. Prosiding di Mahkamah terbuka ialah asas ketelusan dan keyakinan awam terhadap kehakiman. Prinsip keterbukaan mensyaratkan bahawa alasan penghakiman merupakan maklumat awam, maka ia tertakluk kepada penelitian parti-parti, media, majlis peguam, sarjana perundang-undangan dan juga orang awam. Orang awam harus dibenarkan untuk membincangkan dan menerbitkan penghujahan berkenaan dengan penghakiman, pemeriksaan dan keputusan berkaitan. Lord Atkin pernah menyebut Keadilan haruslah dibenarkan untuk berdepan dengan pengamatan dan komen orang biasa yang kuat berbicara secara hormat”.Jeremy Bentham juga pernah berkata "Dalam kegelapan kerahsiaan, kepentingan jahat wujud dalam segala bentuk dan dan segala kemungkinan. Hanya dalam ruang di mana wujud publisiti maka ketidakadilan kehakiman dapat disemak. Tanpa publisiti tiada keadilan."

Cabaran Kedua: Takutkan Kesia-Siaan
Beberapa malam sebelum ini, saya sedang mengagihkan buah oren di pasar malam sebagai sebahagian dari budaya Tahun Baru Cina apabila seorang gadis muda datang kepada saya dan bertanya: "Apa yang boleh saya lakukan untuk bebaskan Anwar?" Saya beritahu gadis tersebut, perkara terbaik boleh dilakukannya untuk membebaskan Anwar adalah dengan menentang ketidakadilan. Pertahankan hak anda. Apabila kita melibatkan diri dan menyuarakan apa yang betul, kita telah menyingkir kuasa pihak yang menzalimi kita, yakni pihak yang bertanggungjawab memenjarakan Anwar. Kuasa pihak yang zalim bergantung kepada sokongan rakyat. Kalau rakyat menyokong penindas maka penindas akan berkuasa. Tetapi kalau rakyat tidak lagi menyokong mereka, maka sebesar manapun mereka akan hancur berkecai.

Pada 1 Disember 1955, Rosa Parks ditahan kerana enggan memberikan tempat duduk dalam bahagian bas yang tergolong sebagai kulit berwarna kepada orang kulit putih. Tentangan Rosa Parks bangkit sebagai simbol gerakan hak sivil. Presiden Amerika Syarikat Lyndon Johnson dalam ucapannya bertajuk “We shall Overcome” berkata: "Wira sebenar perjuangan ini ialah orang kulit hitam Amerika. Tindakan dan protes, keberanian berdepan dengan risiko keselamatan sehingga membahayakan nyawanya telah memberikan kesedaran seluruh bangsa. Demonstrasi sedemikian rupa membangkitkan kesedaran terhadap ketidakadilan dan mendorong perubahan dan pembaharuan. Tindakannya telah membuahkan sesuatu yang baik untuk Amerika." Akhirnya, Rang Undang-Undang Hak Sivil diluluskan pada tahun 1965, kemudian pada tahun 2008, warga Amerika memilih seorang Presiden berdasarkan keupayaannya dan bukannya berdasarkan warna kulitnya. Keberanian seorang wanita telah menyedarkan seluruh bangsa.

Apa yang diperlukan adalah seorang gadis muda, seperti gadis berkenaan yang menerima buah oren mandarin saya, untuk berdiri berdepan dengan kezaliman. Setiap kali seseorang berdiri, dia mencipta gelombang harapan. Apabila sejuta orang berdiri, gelombang tersebut menjadi arus yang kuat dan berdaya yang mampu menumbangkan tembok kezaliman yang paling kuat. 

Cabaran Ketiga: Komitmen Yang Lembap
Cabaran ketiga berkenaan dengan bahayanya komitmen yang lembap, yakni kekurangan komitmen yang kuat dan tegas. Sering kali saya diberitahu penyokong berniat baik supaya saya menyuarakan pandangan ini dan itu. Kita sedang menunggu seseorang yang lain untuk mengatakannya atau melakukannya. Kita sentiasa menunggu orang lain untuk memimpin sedangkan kita meraikannya dan memberikan sokongan sambil menjalani kehidupan yang selamat dan selesa sepertimana keselesaan yang diberikan oleh kerusi sofa bilik kediaman kita. 

Kita semua sedia maklum berkenaan kisah-kisah Mahatma Gandhi, Martin Luther King dan Nelson Mandela. Mereka semua ni wira kita. Di mana pula wira yang asalnya rakyat Malaysia? Karpal Singh meninggal dunia akibat satu kemalangan jalan raya pada tahun lepas, Anwar Ibrahim kini berada di penjara dan Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia beberapa hari yang lepas. Apakah kita sekadar berdiam diri menanti seorang penyelamat atau wira baru muncul? Atau apakah kita bergerak mulai sekarang tanpa menanti-nanti lagi?

Saya berada di satu forum di Ipoh beberapa bulan yang lepas. Seorang hadirin menanyakan di mana "Martin Luther King Malaysia"? Di mana "Gandhi kita"? Saya beritahunya "Martin Luther King Malaysia" atau Gandhi seterusnya kini berdiri di depan kita. Kalau kita berani dan komited untuk bergerak dan bersuara menentang ketidakadilan, kita semua boleh jadi pemimpin, kita semua boleh jadi pengikut. Bukan saja pemimpin harus bergerak dan bersuara. Kita semua harus bangkit. Masa telah tiba untuk membuat pilihan. Setiap orang akhirnya akan dihakimi dari usaha dan sumbangannya dalam hala tuju ke arah order baru. Anda tentu mahu bercerita kepada anak dan cucu anda, bahawa anda sebahagian daripada sejarah dan menyumbang ke arah menumbangkan tembok kezaliman.   

Cabaran Keempat: Kurang Keberanian Untuk Percaya
Saban hari kita melihat ketidakadilan di sekitar kita. Bukan mudah untuk bangkit berdepan dengan ketidakadilan. Kalau kita bangkit, kita sendiri mungkin dizalimi. Kita takut disisihkan. Namun begitu, tidak cukup sekadar rasa tidak selesa apabila menemui ketidakadilan. Kita mesti beranikan diri berdepan dengan ketakutan dan komited unttuk bertindak. Kalau kita sekadar mendiamkan diri, kita akan menjadi sebahagian daripada ketidakadilan.  

Berbanding dengan keberanian fisikal di medan peperangan, lebih sukar bagi seseorang itu mempunyai keberanian moral untuk menentang kezaliman secara aman dan tenang. Namun, ini yang diperlukan. Ciri-ciri utama yang diperlukan bagi mereka yang berazam membawa perubahan kepada sesuatu bangsa. Kita harus jadikan kualiti sedemikian sebagai inspirasi dan dorongan apabila berdepan dengan mereka yang menentang perubahan dan mereka yang menggunakan segala apa yang ada untuk mencegah perubahan daripada berlaku. Mereka mengapi-apikan emosi, kesangsian dan kebencian. Mereka merantai rakyat dengan ketakutan bercirikan perkauman dan agama. Mereka berbuat demikian kerana ini satu-satunya pilihan bagi mereka yang menolak hujah berdasarkan fakta dan tindakan rasional sesebuah minda yang bebas untuk menuntut keadilan. Tuntutan keadilan berkaitan adalah bahawa sesiapa pun tidak harus dihakimi kerana warna kulit atau kepercayaannya. Ini adalah perjuangan menentang diskriminasi, prasangka dan ketaksuban.     

Sesiapa pun tidak wajar melihat perjuangan ini sebagai perjuangan untuk Anwar atau sesiapa pun. Ini adalah perjuangan untuk diri sendiri, untuk keluarga, untuk masa depan anak dan untuk kita semua. Hari ini apabila anda bersekongkol dengan rejim pemerintah untuk meragut kebebasan seseorang, harta seseorang, maruah seseorang kerana warna kulit atau kepercayaannya, maka di masa depan, anda akan merana apabila rejim pemerintah bertindak terhadap anda. Kita mesti bebaskan diri daripada kongkongan sedemikian.  

Kita harus mendekati sesama kita untuk memutuskan rantaian yang mengongkong kita. Ini telah berlaku di Afrika Selatan. Nelson Mandela telah dipenjarakan selama 27 tahun, namun perjuangan tidak terhenti setelah pemenjaraannya. Dasar Aparthied berdepan dengan tentangan daripada segenap lapisan masyarakat, termasuk pertubuhan yang komited terhadap protes aman, penentangan pasif dan pemberontakan bersenjata. Tentangan dilancarkan oleh kedua-dua pihak aktivis kulit hitam dan putih. Ia datang dari gerakan mahasiswa dan pertubuhan pekerja. Ia datang dari gereja, penganut-penganut Hindu dan Islam. Tentangan juga datang daripada Black Sash, sebuah pertubuhan wanita kulit putih yang membantah dasar Apartheid. Pada tahun 1994, dasar Apartheid ditamatkan.  

Masa telah tiba untuk rakyat Malaysia mempamerkan keberanian dan keyakinan untuk membawa perubahan yang kita idam-idamkan dan menjadikannya sebuah realiti. Kebebasan, kesaksamaan dan keadilan tidak akan diberikan kepada kita sebagai hadiah yang jatuh dari langit. Perjuangan untuk kebebasan, kesaksamaan dan keadilan untuk Malaysia haruslah datang dari rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia.

Kini Masanya
Anwar telah korbankan dirinya untuk rakyat Malaysia. Kini giliran kita membuat sesuatu. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya jangan terlepas saat genting ini. Kita telah menunggu 58 tahun. Jangan sampai kita harus menunggu 58 tahun lagi.  Pintu ke arah kebebasan dan kesaksamaan kini berada di depan kita. Apa yang perlu sekarang ialah tolakan terakhir daripada kita. Ini perhimpunan terakhir dan kita akan berada di destinasi. Kita telah datang dari jauh, berjuang lama dan jangan kita berhenti begitu sahaja. Mari kita bergerak bersama ke arah kebebasan, kekayaan yang dikongsi bersama dan ke arah Malaysia yang lebih baik.

William Leong Jee Keen        
Ahli Parlimen Selayang

No comments:

Post a Comment