Thursday, October 18, 2012

PEMBAHASAN BELANJAWAN 2013 - Ekonomi Bertimpa Ribut

PEMBAHASAN BELANJAWAN 2013
WILLIAM LEONG JEE KEEN AHLI PARLIAMENT SELAYANG


Tan Sri/Dato Yang Di Pertua,

1 Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri/Dato Yang Di Pertua kerana memberi saya peluang untuk membahas Belajawan 2013.


Ekonomi Bertimpa Ribut “the Perfect Storm”



2 Menurut analisa pakar ekonomi Nouriel Roubini negara kita adalah yang paling mudah terdedah dengan ramalan scenario ekonomi “Perfect Storm”.Roubini berkata ekonomi Negara kita berkeupayaan terendah dari segi kemampuan kewangan dan fiskal untuk mengatasi krisis yang akan melanda ekonomi global.

3 Roubini berkata Malaysia tidak melaksanakan perubahan yang penting. Mengikut Laporan Ekonomi2012/2013 hutang negara pada akhir Jun 2012 ialah RM502.359 billion. Ini adalah akibatnya bajet defisit 16 tahun berturut-turut. Hutang Kerajaan adalah 53.7% daripada KDNK dan sampai ketahap terhad peminjaman yang dibenarkan iaitu 55% daripada KDNK.

4 Yang Berhormat Permatang Pauh, Gombak, Machang, Klang, Shah Alam dan ahli-ahli parliament lain di sebelah dewan sini telah menyentuh tentang tindakan yang harus diambil untuk memberi perlindungan kepada rakyat dari kemelesetan ekonomi yang akan menimpa negara kita. Mereka telah menarikh perhatian kepada belanjawan alternative yang di bentangkan oleh Pakatan Rakyat. Kerajaan, malangnya masih menafikan kemelesetan ekonomi dunia akan membawa kesan buruk kepada Negara kita. Kerajaan meminjam untuk berikan bantuan. Oleh kerana kita tidak sediakan payung sebelum hujan, kita akan mengalami kesan lebih buruk. Saya hendak menarik perhatian kepada 7 perkara yang harus dibetulkan untuk memberi pelindungan kepada rakyat menghadapi cabaran ekonomi yang akan menimpa mereka.


Isu Pertama: Penjelasan Dasar yang diikuti


5 Saya meminta Kerajaan menjelaskan samaada Dasar Ekonomi Baru (“DEB”) akan dimansuhkan selepas PRU13. Rakyat dan pelabur asing dan tempatan hendak tahuhala tujuKerajaan di 2013 sebelum dan selepas PRU13 supaya mereka dapat membuat persiapan untuk menghadapi kemelesetan ekonomi.

6 Perdana Menteri pada 30 Mac 2010 di Persidangan Invest Malaysia membentangkan Model Ekonomi Baru (“MEB”). Yang Berhormat Perdana Menteri di perenggan 14 ucapan berkata:

“Kita juga telah mengenal pasti beberapa polisi yang telah berjaya mencapai tujuannya pada era sebelum ini namun kini mungkin menjadi penghalang kepada kejayaan, merencat pasaran dan meletakkan kita dalam kedudukan yang kurang berdaya saing.”

Perdana Menteri di perenggan 32 ucapan beliau berkata:-

“Dasar Ekonomi Baru dengan tindakan afirmatif telah berjaya dilaksanakan selama 40 tahun yang lalu…namun begitu, bilangan isirumah berpendapatan rendah masih lagi banyak di Malaysia.Kerajaan kini berhadapan dengan masalah abad ke-21yang memerlukan pendekatan baru untuk menyelesaikannya.”

7 Pada 29 Mei 2010, Majlis Perundingan Melayu (“MPM”), Persatuan Peniaga Melayu dan NGO Bumiputra dalam Kongres Ekonomi Bumiputera dengan tegas dan jelas menolak MEB. Yang Berhormat Pasir Mas sebagai pengerusi dan presiden PERKASA berkata:-

“MEB gagal meletakan agenda Bumiputra kerana ia adalah asas perlembagaan dan rumusan Model Ekonomi Baru ini adalah satu penghinaan kerana menolak semangat DEB.”

8 Perdana Menteri dalam ucapan penutup Kongress berkata:-

“Takkan saya sebagai anak pengasas DEB akan menkhianati perjuangan ayahandanya.Tak mungkin.”

9 Mengikut ucapan di Kongress Ekonomi Bumiputra, janji Perdana Menteri yangdi buat di Persidangan Invest Malaysia tidak akanditepati.Perdana Menteri telah menjanji kepada MPM, Persatuan Peniaga Melayu dan NGO Bumiputera DEB akan di lanjutkan. Tetapi Roubini, penasihat kepada NEAC menyatakan di dalam artikel bertarikh 13 Januari 2011 bahawa sebab bantahan daripada golongan bumiputra tertentu MEB tidak akan dilaksanakan sebelum PRU 13 tetapi akan dilaksanakan selepas PRU13.

10 Kenyataan Roubini kalau benar, bahawa MEB akan dilaksanakan selepas PRU 13 bermaknanya DEB akan dimansuhkan.Initidak adil kepada mereka yang membantah MEBdan mempercayai janji DEB akan dilanjutkan. Oleh yang demikian, saya minta Kerajaan memberikan penjelasan penuh supaya golongan yang hendak DEB dilanjutkan dan golongan lain yang hendak DEB digantikan dapat mengetahui dan tidak akanterkejut selepas PRU 13 terperangkap dengan agenda tersembunyi.


Isu Kedua: Peralihan sistem cukai kepada GST hendak dibahas dengan cara awam



11 Perdana Menteri dalam perenggan 80-83 dan 145 ucapan Belanjawan 2013 telah merujuk kepada pengalihkan sistem cukai daripada cukai pendapatan kepada system cukai yang digambarkan sebagai lebih adil. Ini kita mengetahui adalah cukai barangan dan perkhidmatan (“GST”). Kerajaan harus mengadakan perbincangan awam kerana ketukaran sistem cukai adalah perkara penting yang melibatkan semua rakyat.

12 GST adalah sistem yang tidak adil sebab adalah cukai penggunaan dengan izin “a consumption tax”. Sistem cukai ini adalah sistem cukai “regressif” Orang kaya dan miskin diwajib membayar cukai dengan kadar yang sama. Cukai GST akanmembebankan golongan kelas pertengahan dan kelas rendah dan menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Kerajaan harus ingat bahawa 60% isi rumah mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM3,000.00. Akibatnya mereka yang diberikan BR1M hendak membayar cukai yang lebih daripada bantuan yang diberikan kepada mereka.

13 Saya juga meminta Kerajaan mengesahkan kadar GST adalah 4% dan kos adalah 3%. Ini bermakna Kerajaan akanmengadakan pendapatan 1%. Pada saya ini tidak berbaloi berbanding kepada kesusahan kepada rakyat.


Isu Ketiga: Melindungkan Rakyat daripada “Credit Crunch”


14 Ekonomi negara kita adalah ekonomi yang terbuka danakan ditimpa oleh kemelesetan ekonomi global. Oleh yang demikian kerajaan harus mengambil perhatian tentang masalah yang akan melanda penduduk. Kerajaan telah memberikan tumpuan kepada pelaburan domestik. Mengikut Laporan Ekonomi prestasi eksport pada kesuluruhan turut terjejas.

15 Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah bagi menggalakkan sector swasta memainkan peranan utama dalam menjana aktiviti ekonomi. Pelaburan swasta telah berkembang 12.2% kepada RM94.9 billion pada tahun 2011 berbanding RM84.6 billion pada tahun 2010. Walaupun pelaburanmenggalakkan peratusan sumbangan pelaburan kepada KDNK masih rendah pada 26.8% berbanding 40% sebelum krisis kewangan Asia tahun 1995 hingga 1997. Tambahan lagi lepas 30 tahun sektor pembuatan masih menumpukan kepada operasi pemasangan. Malaysia perlu menggalakkan pelaburan bernilai tinggi daripada syarikat tempatan.

16 Sehingga ini Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”) merangkumi 99.2% daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia. PKS menyumbang 32% daripada KDNK, pekerjaan sebanyak 60% dan ekspot sebanyak 19%. PKS ada beberapa masalah yang perlu ditangani. Antara yang menghalang perkembangannya ialah akses kepada pembiayaan. Oleh yang demikian PKS adalah antara mereka yang akan mengalami kesusahan kewangan dalam kemelesetan ekonomi.

17 Kerajaan hendak memberikan perlindungan kepada mereka yang akan menjadi mangsa “credit crunch”. Masalah yang dialami oleh pengguna tertimbul daripada gabungan 55 institusi kewangan yang pada 1999terdiri dari 20 bank komersial, 23 syarikat kewangan dan 12 bank saudagar kepada 10 “anchor bank”. Dua kesan buruk timbul dengan ada hanya 10 anchor bank:-

a. Bank-bankmemberi lebih tumpuan kepada “fee income” daripada pendapatan dari peminjaman sehingga kini 30% pendapatan ada lah daripada caj untuk perkhidmatan. Bank telah mengenalkan caj yang tinggi yang tidak munasabah:-

i. Caj hendak dibayar menggunakan ATM;
ii. Bank mencajkan komisyen untuk menukar wang tunai kepada syilling;
iii. Bank mencajkan komisyen untuk kira wang tunai untuk dimasukan kedalam Bank sendiri;
iv. Caj hendak dibayar untuk mendapat perkhidmatan cek dan akaun semasa (dengan izin “current account”);
v. RM50hendak dibayar untuk surat mengesahkan untukmeminjam daripada KWSP;
vi. RM20 untuk di berikan copy perjanjian peminjaman perumahan;
vii. RM120 untuk keluarkan surat “redemption” ia itu berapa wang yang hendak di bayar untuk menyelesaikan hutang;
viii. RM200 untuk permohonan mengurangkan kadar faedah;

b. Sepuluh bank-bank ini mengadakan criteria meminjam tinggi yang diamalkan sebelum garispanduan amalan pembiayai yang bertanggungjawab diwujudkan. Pendek kata pinjaman diberikan kepada mereka yang kaya, ada asset untuk digunakan untuk cagaran dan ada “track record”. Ini bermakna ada golongan peniaga terutama PKS dan pemuda yang menghadapi masalah untuk pinjam wang walaupun ada projek yang baik kerana mereka tidak ada aset dan track record.

18 Oleh sebab golongan besar tidak dapat meminjam daripada bank-bank mereka meminjam daripada peminjam haram atau di panggil “Ah Long”. Kita semua tahu masalah mereka yang meminjam wang dari Ah Long. Seperti yang dilaporkan oleh Yang Berhormat Serdang dalam tahun 2008 terdapat 280 kes dilaporkan terhadap keganasan Ah Long mengutip bayaran. Dalam tahun 2009, 578 kes dilaporkan dan makin lama makin naik. Kita semua mengetahui ada ramai peminjam yang terpaksa larikan diri daripada Ah Long dan ada juga mereka yang membunuh diri bersama dengan keluarga kerana tidak boleh tahan taktik Ah Long.

19 Saya meminta Kerajaan untuk mengatasi masalah kesusahan PKS dan peniaga kecil dengan mengkaji semula dasar dan membenarkan bank kecil, syarikat kewangan dan syarikat “leasing” untuk di wujudkan. Mereka ada peranan yang penting untuk memberikan pinjaman kepada golonggan peminjam yang tidak dilayan oleh bank-bank besar.


Isu Keempat: Perlaksanaan dan Amalan Dasar


20 Saya meminta Kerajaan memantau dengan teliti pelaksanaan dan cara dasar di amalkan kerana bila pelaksanaan tidak di buat dengan berhati-hati golongan sasaran yang dibantu menjadi mangsa. Contohnya ialah AP untuk impot kubis.

21 Saya hendak maklumkan bahawa AP bukan hanya di adakan untuk kereta tetapi juga untuk makanan keperluan seperti sayuran. Salah satu AP ialah untuk impot kubis. Pendudok Malaysia makan sebanyak 6,000 ton kubis sebulan. Petani kubis adalah di Cameron Highlands. Mereka bukan pemilik tanah. Mereka hanya dapat menyewa tanah seluas 2 ekar dan atas sebab itu tidak mampu membuat pelaburan yang besar.Petani tempatan dapat keluarkan 4,000-5,000 ton kubis sebulan. Ini bermakna permintaan kubis adalah 1,000 -2,000 ton yang lebih daripada keluaran petani tempatan.

22 Kerajaan membenarkan kubis diimportkan. Harga kubis yang diimport lebih murah daripada harga keluaran petani tempatan sebab harga baja dan ubat rachun serangga dan ketiadaan “economy of scale”. FAMA diberikan tugas untuk memantau keluaran kubis tempatan dan memberikan laporan kepada Kementeri Petanian beberapa ton kubis patut di impot. FAMA walau pun memantau tidak ada kuasa untuk keluarkan AP. AP dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian. Oleh sebab itu Kementerian telah keluarkan AP untuk mengimpot kubis lebih daripada baki permintaan keluaran tempatania itu lebih daripada 2,000 ton. Ini mengakibatkan petani tempatan tidak dapat menjual kubis mereka dan mengalami kerugian.

23 Ini adalah satu contoh dimana pihak berkuasa mengeluarkan AP tanpa memberikan perhatian kepada petani atau peniaga tempatan dan merugikan petani tempatan. Satu contoh yang lain adalah masalah penternak ekspot sarang burong walit. Kementerian telah keluarkan beberapa syarat yang menyusahkan penternak ekspot product mereka. Saya minta Menteri memberikan penjelasan langkah untuk meyelesaikan masaalah ini. Saya meminta Kementerian memberikan perhatian kepada masalah amalan dasar yang terpesong.


Isu Kelima: Rasuah


24 Perdana Menteri telah memberikan peruntukan RM276 juta kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Walaupun peruntukan kewangan ini adalah penting, Kerajaan hendak mengambil kira masalah yang dialami oleh SPRM seperti yang berikut:-

a. Mengikut laporan Sarawak Report, Peguam Negara tidak berkerjasama dengan ICAC Hong Kong dalam siasatan kes rasuah berjumlah US90 juta yang melibatkan Ketua Menteri Sabah. Atas sebab siasatan tidak dapat dijalankan di Malaysia ICAC menarik balik dakwaan dan wang tersita S$16 juta dikembalikan; dan

b. Laporan Sarawak nampaknya berasas kerana Peguam Negara Switzerland telah membuka siasatan terhadap Bank UBS untuk kes “money laundering” menglibatkan akaun Ketua Menteri Sabah yang disiasat oleh ICAC;

25 Saya juga meminta penjelasan daripada Kerajaan atas sebab SPRM tidak dapat mendakwa dan sabit mereka yang menerima rasuah di beberapa kes dimana pihak berkuasa negara asing telah mendakwa, sabit dan denda pegawai asing yang memberi rasuah kepada pegawai Malaysia.Contoh adalah berikut:-

a. Securities and Exchange Commission USA telah mendakwa dan denda Alcatel-Lucent US137 juta untuk kesalahan rasuah antaranya bayaran US$700,000 kepada 2 pegawai kerajaan Malaysia untuk mendapat maklumat sulit;

b. Syarikat gergasi Germany, Siemens didenda US$1.6 billion untuk kesalahan rasuah di beberapa negara termasuk Malaysia yang terlibat Power Transmission and Distribution Group Siemens;

c. Syarikat Peranchis, Alstom didenda oleh Switzerland RM133 juta untuk kesalahan rasuah termasuk bayaran untuk mendapat kontrak di Malaysia. Alstom telah diberikan beberapa kontrak termasuk kontrak RM2.8 billion oleh Tenaga Malaysia untuk loji janakuasa 1300 MW di Manjung. Alstom juga mendapat kontrak di Lumut, Kuala Langat, Hulu Trengganu dan lain lain tempat;




Keenam: Keselamatan



26 Yang Berhormat Menteri umumkan peruntukan RM591 juta untuk menurunkan kadar jenayah. Diantaranya, peruntukan sebanyak RM20 juta di berikan untuk membeli 1,000 motosikal kepada pihak polis. Ini amat menggalakkan kerana mempertingkatkan keselamatan walaupun harga setiap motosikal adalah lebih daripada harga biasa.

27 Selain daripada motosikal, saya meminta Kerajaan untuk memberikan perhatian kepada pembinaan balai polis. Beberapa balai polis telah dicadangkan dibina di dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan ke-10 tetapi sehingga kini, wang belum diturunkan. Contoh adalah balai polis di Bandar Country Homes Rawang di mana tapak telah diperolehi tetapi balai belum dibina dan pihak polis telah menggunakan “showhouse” pemaju untuk masa sementara yang telah menjadi 15 tahun dan showhouse telah juga usang.Kita amat kesian kepada pihak polis yang menunaikan tanggungjawab mereka dengan ada motosikal baru tetapi tidak ada bumbung yang sesuai untuk melindungi mereka daripada cuaca.

28 Selain daripada itu balai sementara ini adalah balai kommunity dan mengikut peraturan tidak boleh mengada lebih daripada 15 anggota polis. Penduduk di kawasan Bandar Country Home dan sekelilingnya seperti Bayu Permai, Taman Desa, Taman Velox, Kota Emerald, telah menambah lebih 50,000 dalam masa 15 tahun ini. Pihak polis di IPD Gombak tidak dapat membuat apa-apa kalau peruntunkan tidak di turunkan untuk membina balai polis. Penduduk di kawasan Bandar Country Homes merayu kepada Yang Berhormat Menteri untuk memberi perhatian kepada masalah ini.

Ketujuh: Kurangkan beban Peminjam PTPTN dan Pendidikan Percuma


29 Perdana Menteri telah menghuraikan rancangan Pakatan Rakyat untuk memberi pendidikan percuma sebagai sesuatu yang akan membankrapkan Negara.Yang Berhormat Perdana Menteri mengumumkan diskaun 20% untuk bayaran PTPTN sekaligus dan 10% diskaun kepada mereka yang membayar secara konsisten.

30 Saya meminta Kerajaan untuk mengkaji cadangan PTPTN memberikan tempoh “moratorium” kepada peminjam pada masa kemelesetan ekonomi ini sehingga mereka dapat mendapat gaji sewajar dengan tahap pendidekan mereka contohnya RM3,000 sebulan.

31 Kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan pihak swasta dengan tujuan mencari keuntungan membuka dan mengurus institusi pendidekan tinggi pada 1996. Ini di panggil institusi “For Profit” berbandingan daripada institusi swasta pendidekan yang beroperasi bukan untuk mencari keuntungan.Antara matlamat dasar ini ialah mengurangkan beban kewangan Kerajaan untuk membina jumlah university yang hendak diadakan kerana pelajar yang layak bertambahan.Pada 1996 Kerajaan meluluskan 6 Akta untuk pelajaran tinggi yang membenarkan IPTS diswastakan dan IPTA dikorporatkan (dengan izin “liberalization of private higher education and corporatization of public universities”)

32 Dengan ada syarikat swasta membuka institusi pendidikan tinggi dengan mencari kehutungan masalah kuality menimbul. Mengikut kajian Institute Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara bertarikh 31.5.2012, kawalan kualiti pendidikantinggi swasta adalah isu kritikal. Pelajar yang hendak bayar pinjaman PTPTN untuk mengambil khusus IPTS ibarat jatuh di timpa tangga bila mereka hendak membayar pinjaman tetapi tidak dapat cari kerja sewajar graduan kerana pengajaran yang tidak berkualiti.

33 Masalah yang timbul dengan liberalisasi pelajaran tinggi IPTS:-
a. Kualiti pengajaran IPTS menjadi isu utama;
b. Kualiti pensyarah di IPTS tidak memuaskan berbanding denganpensyrah IPTA berkelayakan “masters” tetapi di IPTS “undergraduate degree holder” menjadi pensyarah;
c. IPTS kurang menjalankan research dan menerbitkan kertas akademik;
d. Sebab IPTS mencari keuntungan kemudahan seperti perpustakaantidak bagitu lengkap berbanding dengan IPTA;

34 Hujah bahawa penswastakan pelajaran tinggi mengurangkan beban kewangan Kerajaan tidak benar.Pelajar terpaksa meminjam wang untuk membayar yuran tinggi. Untuk mengatasi masaalah yuran tinggi, Kerajaan menubuhkan PTPTN. Ini bermakna wang Kerajaan yang dipinjam kepada pelajar sebenarnya diberikan kepada IPTS dan menjadi keuntungan mereka. Dalam tempoh 14 tahun PTPTN telah memberikan pinjaman RM44.62 billion kepada 1.99 juta pelajar. RM23.78 billion kepada IPTA dan RM20.84 billion kepada IPTS. Daripada 1.99 pemimjam1.124 juta harus membuat pembayaran tetapi hanya 769,848 telah membuat demikian dengan jumlah RM3.37 billion bayaran yang diterima.Lebih 600 IPTS bergantong kepada PTPTN kerana majority pelajar mereka meminjam dari PTPTN. Oleh yang demikian apa yang jelas disini adalah IPTS bergantong kepada wang Kerajaan seperti IPTA berbezaan nya Kerajaan tidak milek IPTS dan wang diterima sebagai keuntungan.

35 Oleh yang demikian sehingga ada pendidikan tinggi percuma, kerajaan hendak mengkaji semula keputusan untuk mengalihkan tanggong jawab pelajaran tinggi kepada pihak swasta. Ini adalah kerana kos yang hendak di bayar atau di pikul oleh Kerajaan termasuk memberikan peruntukan kepada PTPTN adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan belanjaan membina dan menguruskan universiti-universiti.



Kesimpulan



36 Belanjawan tidak memberikan rangsangan untuk mengatasi cabaran ekonomi di luar dan di dalam Negara. Oleh sebab kemelesetan ekonomi dunia, negara kita yang mengadakan ekonomi terbuka tidak boleh mengelakkan kesan buruk.Kerajaan harus memberikan tumpuan kepada penggunaan domestik untuk mengatasi masalah masalah yang mereka menghadapi tetapi ini tidak dapat dicapai kalau pendapatan bolehguna tidak dinaikkan.Hanya dengan menurunkan harga kereta, pengangkutan awam, harga rumah dan harga barang keperluan boleh lah rakyat Malaysia mengatasi kemelesetan ekonomi dunia. Kerajaan juga hendak mengambil tindakan untuk membetulkan cara dasar diamalkan. Bila perlaksanaan terpesong walaupun tujuan dasar adalah baik, pelaksanan akan menyusahkan penduduk. Saya harap Kerajaan memberikan perhatian kepada perkara yang disebut di dalam ucapan saya supaya dapat menjaga nasib dan kepentingan rakyat.


Sekian, terima kasih.

9hb Oktober 2012

No comments:

Post a Comment