Tuesday, November 3, 2015

Ucapan Debat Bajet 2016 : Menolak Bajet 2016

Mengundi Mengikut Hati Nurani : Menolak Bajet 2016

Yang Berhormat Tan Sri Yang Di Pertua,

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk membahaskan Bajet 2016.
2 Saya meminta Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang Mulia ini terutama rakan-rakan di depan saya untuk mengundi mengikut hati nurani dan menolak Bajet 2016 (dengan izin “to vote according to your conscience and reject the 2016 Budget”).

3 Alasan pertama untuk menolak bajet 2016 adalah tiada kepastian Yang Berhormat Pekan masih ada sokongan majoriti Dewan Rakyat. Prinsip asas sistem kerajaan demokrasis berparlimen Westminster dan satu keperluan yang nyata Perlembagaan kita ialah perdana menteri perlu sokongan majoriti Dewan Rakyat. Dua Usul Tidak Percaya telah dibawah. Usul Tidak Percaya (Motion of No Confidence) yang dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat dari Petaling Jaya Selatan terbenam di bawah Kertas Perintah. Perkara 27 daripada 30 perkara, ia tidak ada peluang untuk dibahas. YB Yang DiPertua meminta Ketua Pembangkang, Ahli Berhormat Permatang Pauh, untuk memkemukakan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang menyokong Usul Tidak Percaya dibawah oleh Ketua Pembangkang, sebelum keputusan diambil untuk membenarkan Usul tersebut untuk dibahas. Ini bukan amalan demokrasi berparlimen.

4 Saya yakin Yang Berhormat Tan Sri Yang Di Pertua mengikut buku teks “Parliamentary Practice” oleh Erskine May. Usul Tidak Percaya perlu dibahaskan dengan segera dan diberikan keutamaan daripada usul-usul lain. Mengikut dengan izin “Parliamentary Practice and Convention” Kerajaan wajib menentukan tarikh dan maklumkan kepada speaker bila usul akan dibahas dengan segera. Ini adalah sebab kegagalan berbuat demikian adalah pengakuan bahawa perdana menteri telah hilang sokongan majority legislatif. Ia akan menjadi satu Kerajaan yang tidak sah (dengan izin “a government lacking legitimacy”). Satu Kerajaan yang tidak sah tidak mempunyai kuasa moral untuk mengutip satu ringgit cukai daripada rakyat ataupun untuk membelanjakan satu ringgit wang pembayar-pembayar cukai.

5 Alasan Kedua, adalah terdapat krisis keyakinan terhadap kepimpinan (dengan izin “a Crisis of Confidence in the Leadership). Sebab Pertama adalah siasatan jenayah terhadap Perdana Menteri telah diganggu. Ahli Yang Berhormat dari Sungai Petani telah merujuk kepada pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri lain yang berani menyoalkan 1MDB, penyingkiran Peguam Negara, pembubaran pasukan petugas khas, pemindahan pengarah-pengarah SPRM, pengarah-pengarah Cawangan Khas kepada jabatan di bawah Pejabat Perdana Menteri yang belum wujud dan polis menyiasat pegawai-pegawai penyiasat SPRM. PAC tidak boleh meneruskan siasatan selepas Perdana Menteri melantik 4 ahli PAC kepada Kabinet. Pengarah komunikasi strategik khas, Ahli dari Kota Belud dan Menteri Kesahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah dilapor berkata bahawa Perdana Menteri terpaksa “take out people” selepas kertas pertuduhan yang didakwa terhadap Perdana Menteri muncul. Tindakan ini adalah kesalahan dibawa seksyen 23 Akta Surhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009;

6. Sebab Kedua adalah kekurangan penjelasan menyeluruh (full and frank disclosure) mengenai keadaan kewangan Kerajaan. Kerajaan tidak memberikan penjelasan menyeluruh tentang hutang RM42 bilion 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya. Perdana Menteri. Sepatutnya penjelasan penuh dan lengkap perlu dimaklumkan dengan segera selepas artikel Wall Street Journal diterbitkan pada bulan Julai. Rakyat juga telah menanti-nantikan Yang Berhormat Pekan memberikan penjelasan penuh dalam Ucapan Bajet 2016, tetapi malangnya ini tidak berlaku. Berdiam diri berpanjangan dan berlarutan hanya membawa kesimpulan bahawa ada segala-galanya yang hendak disembunyikan (dengan izin “the prolonged and protracted silence only give rise to the inference that there is everything to hide”). Oleh yang demikian kesan adalah keyakinan terhadap kepimpinan terjejas and makin menurun;

7 Keyakinan juga terjejas kerana Kerajaan menggunakan mekanisme off-budget untuk membiayai projek-projek kerajaan. PAC dalam laporannya mengenai Pembinaan PFI Sdn Bhd mendapati bahawa PFI telah digunakan untuk meminjam RM27 bilion untuk membiayai projek-projek dan aktiviti-aktiviti. Walaupun projek-projek telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-10, perbelanjaan yang dibiayai oleh PFI tidak dibentangkan ke Parlimen. PAC mendapati program PFI sebagai suatu pinjaman kerajaan off-budget. Perbelanjaan off-budget menimbulkan keraguan mengenai integriti angka-angka dalam bajet yang tidak memberikan kedudukan sebenar kewangan kerajaan, liabiliti kontinjen (“contingent liability”), pengiraan defisit dan tahap hutang kerajaan. Defisit dan hutang Kerajaan yang sebenar akan menjadi lebih tinggi jika hutang PFI diambil kira. PAC dalam laporannya membuat cadangan-cadangan bagi peruntukan, perbelanjaan dan hutang PFI dibentangkan untuk kelulusan Parlimen.  PAC selanjutnya mengesyorkan bahawa semua bentuk perbelanjaan off-budget juga hendaklah dilaporkan kepada Parlimen.  Malangnya, ini tidak dipatuhi bagi Bajet 2016.

8 Keyakinan terhadap Kerajaan juga terjejas sebab Kerajaan tidak menyediakan penjelasan lengkap tentang contingent liability, selain daripada jaminan, surat “letters of comfort” dan lain-lain bentuk sokongan kewangan yang diberikan untuk pinjaman-pinjaman yang diambil oleh badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (“GLC”) harus dibentangkan. Kerajaan perlu membayar hutang jika GLC ingkar. Terdapat terlalu banyak kes seperti pembayaran RM3 bilion bagi Pewaja, RM12 bilion bagi PKFZ, RM20 bilion dalam beberapa penyusunan semula MAS dan kini potensi liabiliti sebanyak RM42 bilion untuk 1MDB. Adalah mengejutkan untuk melihat dalam Lampiran 6 kepada Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2014 bahawa jumlah jaminan kerajaan kepada badan berkanun dan GLC adalah RM850 bilion (RM850,035,142,802.34). Ketaralah jumlah “contingent liability” adalah lebih apabila letter of comfort dan lain-lain bentuk surat sokongan diambil kira. Ini tidak harus berlaku. Ini tidak adil kepada ahli-ahli parliament yang membahas sehingga lewat malam tentang kenaikan gaji pejawat awam atau bonus lima ratus ringgit tetapi hutang berbilion-bilion GLC diberikan tanpa kelulusan atau pengetahuan ahli-ahli parlimen;  

9 Sebab Ketiga adalah penyalahgunaan dan penghancuran institusi negara kita. Kebebasan Badan Kehakiman telah dimusnahkan oleh bekas Perdana Menteri pada zaman lapan pulohan. Apa harapan pemulihan telah berkecai dengan sabitan Mahkamah terhadap Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, peguam-peguam dari perbadanan perundangan antarabangsa berkata kesabitan Ketua Pembangan tidak wajar. Juga Makahmah Rayuan engan mengikut keputusan yang telah diberikan oleh panel Makahmah Rayuan yang lain dan memutuskan bahawa Akta Perhimpunan Damai tidak melanggar Perlembagaan. Keputusan ini bercanggah dengan keputusan Makahmah Rayuan pertama. Bekas Perdana Menteri Yang Berhormat Tun Ahmad Badawi berusaha untuk membetulkan badan penghakiman dengan menggubal Akta Suruhanjaya Kehakiman. Matlamat ini tidak dapat dicapai kerana baru-baru ini didedahkan bahawa nama Hakim Mohd Hishamuddin Mohd Yunus telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk pelantikan ke Mahkamah Persekutuan pada tahun 2013 tetapi Perdana Menteri tidak memihak kepada perlantikan beliau. Hakim yang paling rajin, adil dan dihormati telah dilangkau banyak kali. Lain adalah integriti Bank Negara Malaysia, institusi peringkat antarabangsa yang dihormati telah dirosakan. Nampaknya ada kekurangan pengawasan BNM dalam pemindahan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Sekarang ternyata dengan penolakan Peguam Negara terhadap siasatan BNM untuk mendakwa 1MDB. Ini merupakan BNM tidak tahu atau dengan izin “incompetent” menjalankan siasatan.    
   
10 Sebab Keempat adalah Kerajaan sedang melakukan penyiasatan, penangkapan dan penahanan ahli-ahli politik pembangkang, aktivis-aktivis, pelajar-pelajar, ahli-ahli akademik, pengharaman akhbar dan blog-blog dan mobilisasi berasaskan kaum. Ini telah menimbulkan kebimbangan keselamatan dan kestabilan;

11. Semua empat sebab telah bergabung untuk menjejaskan keyakinan pelabur tempatan dan asing. MIDF Equities melaporkan pada 3 Ogos 2015 bahawa anggaran aliran keluar sebanyak RM11.7 bilion melebihi aliran keluar RM6.9 bilion di seluruh 2014. Ia menyebabkan nilai Ringgit menjunam. Pakar ekonomi memanggil nya sebagai “sentiment.” Fitch Ratings dan ahli-ahli ekonomi juga berkata anggaran hasil Kerajaan 2016 adalah “optimistik”. Perkataan “sentiment” dan “optimistic” adalah istilah berhemah yang bermaksud mereka tidak ada keyakinan kepada anggaran yang diterbitkan. Memang “optimistic” untuk meramalkan hasil Kerajaan naik dengan kenaikan cukai pendapatan syarikat sebanyak 8.9% dan GST 44% dan tidak realistic bila ramalan pertumbuhan KDNK adalah hanya 4-5%. Kenaikan harga bermakna pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan, yang akan membawa kepada kelembapan ekonomi kerana pasaran domestik tidak mempunyai rangsangan.

12 Ini bermakna bahawa perniagaan rakyat Malaysia akan terjejas secara negatif. The Malaysian Employers’ Federation (MEF) melaporkan pada bulan Julai bahawa 10,000 orang telah diberhentikan berikutan penyusutan nilai ringgit, harga yang semakin meningkat dan kelembapan ekonomi;

13 Gaji bertakung dan perusahaan tidak dapat naik rantai nilai (dengan izin “move up the value chain”). Ini adalah sebab tahap produktivit buruh rendah, ketidakcekapan pengunaan sumber, proses inovatif yang tidak cukupi, kekurangan kemahiran dan penting sekali kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah. Kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah serta ketiadaan dasar yang komprehensif telah menyumbang kepada peningkatan bilangan pekerja asing berkemahairan rendah. Pada masa ini daripada jangkaan 6 juta pekerja asing lebih daripada 4 juta adalah tanpa izin. Oleh yang demikian cadangan Bajet 2016 untuk menaikan gaji minima daripada RM900 kepada RM1,000 dan daripada RM800 kepada RM900 di Sabah dan Sarawak, tidak akan menyelesaikan masalah. Usaha perlu dilaksanakan secara holistic, bersepadu dan disokong diperingkat Kerajaan, industry dan perusahaan;

14 BR1M tidak dapat membantu golonggan berpendapat rendah menampong kenaikan kos saraf hidup yang tinggi selepas subsidi di mansuhkan dan sekarang kadar tol telah naik dan subsidi beras dimansuhkan. Pengarah eksekutif MIER, Zakariah Abdul Rashid berkata BRIM adalah langkah populist dan merupakan “helicopter raining money.” Bayaran ini hanya menaikan kadar inflasi, tidak ada kesan positif terhadap produktiviti, tidak memberikan “multiplier effect.” BRIM adalah langkah sementara dan bukan penyelesaian. Apa yang diperlukan ialah satu jaringan selamatan sosial yang bekesan untuk menampong kos hidup yang semakin naik dan membebankan rakyat;
 
15 Oleh yang demikian saya meminta Ahli-Ahli Dewan yang Mulia ini untuk menolak Bajet 2016 mengikut hati nurani. Takkan kepentingan seorang keperluan tiga puluh juta rakyat dikorbankan. Takkan sebab mengekalkan jawatannya seorang, beribu-ribu dibiarkan kehilangan kerja mereka. Saya tahu ahli-ahli parliament di depan saya ada kekangan untuk membuat keputusan mengikut suara hati. Walaubagaimana pun, saya merayu jangan menutup mata kepada kemusnahan perlembagaan, institusi-institusi negara dan demokrasi. Jangan menutup hati dan minda kepada kebenaran.

16 Buka mata dan lihat laporan Merdeka Centre – hanya 23% menyokong Kerajaan.  Sokongan orang Melayu telah jatuh ke 31%. Buka minda dan menginsafi nasihat Persidangan Raja-Raja (Rulers Conference) dalam kenyataan untuk siasatan dijalankan, diselesaikan dan mereka yang terlibat dihukum. Jangan lupakan sumpah sebagai ahli parlimen untuk bertindak demi kepentingan negara pada keseluruhannya. Tanggungjawab adalah membuat pertimbangan yang terbaik untuk rakyat. Bukan untuk taat membuta tuli, undi mengikut imlak dan bertindak untuk kepentingan seorang individu.

17     Jikalau anda mengundi menentang hati nurani, menentang hati dan minda, sedar diri apabila ekonomi kita jatuh merundum, ketua setiap keluarga hilang mata pencarian, rakyat mengalami kesusahan menampong kos sara hidup tinggi, diperingatkan – dalam tangan mereka adalah kuasa untuk mengundi. Pada ketika itu rakyat akan mengundi menentang rasuah, mengundi menentang penderaan, mengundi menentang penindasan, rakyat akan mengundi anda dari kuasa.

18 Atas alasan-alasan yang diberikan, saya menolak Bajet 2016. Terima kasih.

William Leong Jee Keen
Ahli Parlimen Selayang

No comments:

Post a Comment