Tuesday, January 5, 2010

Jawatankuasa Penempatan Semula Setinggan Bukit Botak (JPSSBB) mohon MB teliti dokumen


SELAYANG BARU – Jawatankuasa Penempatan Semula Setinggan Bukit Botak (JPSSBB) berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertimbangkan keputusan Kerajaan Negeri mengambil alih tanah Bukit Botak.

Setiausahanya, Fauzan Abdul Kadir berkata, pihaknya berharap MB dapat meneliti dokumen pada Kerajaan Negeri terdahulu dalam membuat pertimbangan berkenaan.

Menurutnya, selain pihak Pejabat Tanah Daerah Gombak, dokumen berkaitan boleh dirujuk dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Delpuri Corporation Sdn Bhd, iaitu pemaju projek penempatan Setinggan Bukit Botak (SBB) sebelum ini.

“Malah, jawatankuasa juga mempunyai dokumen berkaitan mengapa projek ini perlu diteruskan dengan persetujuan majoriti penduduk sebab kita tidak mahu isu SBB dipolitikkan.

“Untuk itu, kita juga menyarankan agar MB turun padang dan lihat apa sebenarnya berlaku di Bukit Botak seterusnya berbincang dengan jawatankuasa dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jeen Keen untuk mendapat maklumat tepat,” kata Fauzan.

Beliau berkata, pihaknya berpendapat MB mendapat informasi kurang tepat, sedangkan dalam kenyataan akhbar oleh William serta peguam JPSSBB, R Mohanar berdasarkan fakta, projek itu wajar diteruskan.

Fauzan berkata, antara dokumen disimpan JPSSBB ialah persetujuan PKNS menyelesaikan projek secara sukarela dengan harga rumah antara RM40,000 hingga RM80,000, memberikan sewa rumah termasuk subsidi RM140 juta untuk projek.

“Selain subsidi yang belum diberi, PKNS juga ingkar janji kepada penduduk Selayang Mutiara. Perjanjian sepatutnya ditandatangani antara penduduk dengan PKNS, tetapi tidak dilakukan.

“JPSSBB ragu bagaimana PKNS boleh membelanjakan wang rakyat hingga RM48 juta hanya untuk projek 88 unit rumah, sedangkan anggaran projek oleh pihak berkenaan, kos itu sepatutnya tidak sampai RM20 juta,” katanya.

Menurut Fauzan, dipertikaikan lagi jawatankuasanya berikutan dakwaan kerugian sebanyak RM136 juta akan ditanggung PKNS sekiranya projek SBB diteruskan.

Menurutnya, selain JPSSBB, William turut mempertikaikan kos meneruskan projek tidak melebihi RM70 juta seperti dimaklumkan Delpuri yang masih mempunyai kontrak di SBB hingga 2010.

“Penduduk tidak mahu jadi mangsa kegagalan pihak pejabat tanah dan PKNS. Lagipun, kita telah lantik kontraktor berkemampuan untuk menyelesaikan projek.

“Jadi kita harap supaya tanah tidak diambil alih dan diserahkan semula kepada penduduk supaya projek penempatan semula ini dapat disiapkan segera dalam masa dua tahun,” kata Fauzan.

Sinar Harian
5 Januari 2010
http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story6326165.asp

No comments:

Post a Comment