Tuesday, August 31, 2010

MP Selayang: Saya bangga kejayaan negara tapi Malaysia ‘masih belum matang’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
August 31, 2010


KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Beberapa hari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaaan kali yang ke-53, wakil rakyat penggal pertama ini dikejutkan dengan laporan media yang mempertikaikan kehadirannya di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru.

Serangan terhadap William Leong, Ahli Parlimen Selayang, berlaku selepas seminggu nasib yang sama menimpa Ahli Parlimen Serdang yang mengunjungi Surau Al-Huda.

Bagaimanapun Leong yang juga Bendahari PKR mempertahankan kehadiran beliau atas alasan dilakukan dengan niat yang baik.

Secara kebetulan beliau juga salah seorang yang lahir pada tahun negara mencapai kemerdekaan.

Menurut pemimpin politik ini istilah kemerdekaan memang besar maksudnya kepada semua rakyat negara kerana ia memberikan makna bahawa negara bebas daripada penjajah dan oleh yang demikian tanggal 31 Ogos amat istimewa.

Leong dilahirkan pada 27 Januari 1957.

“Sudah tentu saya berbangga dengan apa yang dicapai negara sepanjang 53 tahun ini.

“Ini kerana Malaysia telah menunjukkan banyak kejayaan termasuk dari aspek ekonomi, pembangunan dan sukan yang menjadi kebanggaan rakyat di negara ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sepanjang 53 tahun merdeka Malaysia kini menjadi salah sebuah negara yang menjadi tarikan pelancong dan ia juga merupakan salah satu aspek kebanggaan negara, kata beliau.

“Melihat Malaysia kini dikenali di seluruh dunia juga menjadi satu kebanggaan kepada rakyat malah saya harap pencapaian ini dapat ditingkatkan pada masa akan datang,” katanya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata,sepanjang tempoh kemerdekaan perkara paling tidak boleh dilupakan adalah ketika tragedi 13 Mei 1969.

“Ketika itu saya berumur 12 tahun dan peristiwa tersebut adalah perkara yang paling menakutkan dan menyedihkan yang berlaku selepas merdeka.

“Saya tidak berapa ingat sangat mengenai kejadian itu tapi ia memang satu kejadian ngeri,” katanya.

Leong berkata sejak dari kecil beliau dibesarkan dalam persekitaran di mana semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India bersatu.

“Ketika kecil saya dan rakan-rakan bagaikan sebuah keluarga, kadang-kadang saya juga ada makan di rumah kawan saya orang Melayu dan juga India.

“Tidak ada langsung perasaan marah atau benci kepada kaum lain ketika itu, bagi saya semua kaum adalah sama sebab itu kita boleh merdeka.

“Cuma sekarang ia adalah satu perkara yang menyedihkan apabila semua kaum terutamanya generasi muda tidak lagi bersatu seolah-olah ada satu jurang menyebabkan mereka daripada bersatu,” katanya Leong.

Namum sebagai wakil rakyat Leong kecewa kerana negara masih belum mencapai satu tahap matang walaupun sudah 53 tahun merdeka.

“Bagi saya Malaysia masih belum matang, ini kerana saya melihat perkembangan politik negara masih berada di tahap yang menyedihkan.

“Selain itu sejak 20 tahun kebelakangan ini perkembangan negara agak terbantut sehingga negara lain yang dulu ketinggalan jauh di belakang telah menjangkaui kita,” katanya.

Leong memberitahu jika hendak dibandingkan dengan kemajuan negara Asia lain Malaysia nampak sudah semakin jauh ketinggalan di belakang.

“Dulu pada tahun 1960 hingga 1970 negara berkembang dengan lebih baik berbanding negara Asia lain seperti China dan Korea.

“Malah pada tahun 1980 ekonomi negara berada di tahap terbaik kerana kemampuan untuk bersaingan dengan Singapura, Hong Kong dan Taiwan.
Wakil rakyat penggal pertama ini berharap semua pihak akan kembali kepada makna sebenar kemerdekaan.

“Selain itu, kereta keluaran negara iaitu Proton juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan serta menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Namun beliau berkata, rakyat kini terpaksa menerima beban apabila negara gagal berkembang dengan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sebagai contoh kalau dulu sekitar tahun 1980, pendapatan sebulan minimum RM1,800 dan ketika itu harga sebuah rumah berkembar bernilai RM25,000 sebuah manakala kereta pula berharga RM9,000.

“Tapi hari ini pendapatan minimum rakyat lebih kurang RM2,000 hingga RM2,500 sebulan tapi harga bagi sebuah rumah dan kereta meningkat berlipat kali ganda menyebabkan rakyat terbeban.

“Jadi bagi saya negara tidak seolah-olah tidak lagi dapat membantu rakyat sebaliknya hanya lebih membebankan,” katanya.

Justeru, sempena kemerdekaan negara yang ke-53, Leong berharap supaya negara dapat melakukan satu tranformasi yang boleh membantu rakyat menjalani hidup dengan lebih baik.

“Semua pihak perlu kembali kepada makna sebenar kemerdekaan dan saya percaya jika istilah ini (merdeka) disanjung sudah pasti semangat kemerdekaan dapat dihayati dengan sepenuhnya.

“Bebaskan negara dari semua aspek negatif termasuk rasuah dan penyelewengan... bagi peluang rakyat untuk bersuara sebagai bukti kemerdekaan.

“Ini yang penting bagi saya, ini baru maksud sebenar kemerdekaan. Bebas segala dari anasir tidak sihat,” katanya.

No comments:

Post a Comment