Tuesday, May 19, 2009

Bendahari Agung: WILLIAM LEONG Sumbang Kepakaran Untuk Perjuangan


Suara KeADILan Jun 2007

Apabila Penasihat Parti merangkap Presiden De Facto Anwar Ibrahim mengumumkan perlantikan William Leong Jee Keen sebagai Bendahari Agung KeADILan yang baru, ramai yang mengerutkan kening kerana bukan sedikit termasuk ahli-ahli parti sendiri yang tidak pernah mendengar nama peguam terkenal kelahiran Perak ini.

Walau pun memang mengakui ‘baru’ dalam politik, namun peguam korporat ini sudah lama bergelumang dan mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam dunia ekonomi negara, malah mempunyai pengalaman mewakili tokoh-tokoh politik ulung dalam mahkamah.

“Generasi saya harus bangkit. Jika kita sekadar menunggu seseorang untuk membantu, maka kita tidak akan kemana-kemana. Kita harus berbuat sesuatu,” kata beliau apabila ditanya kenapa memilih parti KeADILan. Ikuti wawancara wartawan Suara Keadilan, Hafizz Mokhtar dan Akid Damia dengan tokoh profesional ini di firma guaman beliau William Leong & Co di Phileo Damansara, Kuala Lumpur.

SK: Tahniah diatas perlantikan saudara selaku Bendahari Agung KeADILan. Apa perasaan saudara diberi amanah memegang tanggungjawab sebegitu besar?

WL: Memang saya terkejut dengan perlantikan tersebut. Hairan pun ada. Saya hanya mahu membantu parti. Saya tidak menyangkanya sama sekali diberi tanggungjawab itu. Saya menyertai KeA-DILan bukan untuk pangkat atau jawatan, tetapi sekadar melakukan apa yang boleh saya bantu.

Saya benar-benar menghargai dan berterima kasih, dan saya akan melakukan sebaik mungkin dalam menjalankan tugas, mengambil pengalaman saya sebagai peguam korporat dan komersil untuk membantu parti.

SK: Saya difahamkan saudara bukan dari latar belakang politik, apakah ini satu kekurangan?

Benar sebelum ini saya tidak terlibat secara langsung dengan mana-mana gerakan politik. Saya adalah seorang profesional, dan golongan profesional lebih selesa bekerja dari sebalik tabir berbanding ahli-ahli politik yang kehadapan.

Pada saya, tiada apa yang mahu saya katakan, saya lebih tertumpu kepada tindakan dan hasil kerja. Walaubagaimanapun, saya sering menawarkan kepakaran saya selaku peguam korporat mengambil kes-kes yang adakalanya memerlukan nekad dan kecekalan berhadapan dengan jentera kerajaan.

Sekembalinya saya ke tanahair dari luar negara pada tahun 1982, di masa Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri Malaysia, ekonomi negara bergerak pantas pada masa itu. Tetapi negara dicemari dengan skandal-skandal kewangan yang besar. Antara kes yang saya ingat ialah skandal BMF-Bank Bumiputra yang kehilangan banyak wang. Mahathir, pada masa itu cuba menggunakan wang Petronas untuk ‘bail-out’ Bank Bumiputra.

Dalam kes itu, saya berperanan membantu teman saya dari DAP mendapatkan perintah mahkamah menghalang Dr Mahathir dari mengambil wang Petronas. Seharusnya, jika Bank Bumiputra dilanda masalah maka ia menjadi tanggungjawab pemegang-pemegang saham bank, bukan rakyat. Wang Petronas ialah wang rakyat, dan harus disimpan untuk rakyat.

Kalau menurut undang-undang pada masa itu, kami sepatutnya menang kes itu. Tetapi di saat-saat terakhir kami tidak menjangka Parlimen akan meminda undang-undang lalu memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk berbuat apa sahaja yang dia mahu dengan wang Petronas. Perkara itu amat dikesalkan.

Selain dari skandal BMF-Bumiputra, terdapat satu kes yang menyentuh hati saya. Dalam kes itu saya mewakili ahli-ahli koperasi menuntut wang mereka dari badan-badan koperasi tanahair. Pada masa itu, sekitar 1980an, koperasi-koperasi besar tanahair berada dalam keadaan tenat.Ramai kroni dan individu meminjam wang dari koperasi tetapi enggan menjelaskan hutang mereka. Keadaan ini menyebabkan ramai ahli-ahli koperasi kehilangan wang.

Antara anak guam saya pada masa itu ialah seorang budak yang cacat selepas terlibat dalam satu kemalangan. Budak itu melaburkan wangnya ke dalam koperasi, tetapi wang itu telah digunakan koperasi untuk dipinjamkan kepada orang lain. Selepas koperasi itu bungkus tikar, budak malang itu kehilangan semua wang yang amat diperlukannya.

Selepas beberapa ketika, terjadi pula Operasi Lalang. Saya tidak ditangkap dalam operasi itu, tetapi saya ditangkap pula oleh seorang wanita…yang kemudian menjadi isteri saya (ketawa).

Saya sekali lagi memainkan peranan sebagai peguam dalam satu kes yang melibatkan Tan Koon Swan, seorang pemimpin MCA yang bercita-cita mahu merebut jawatan Presiden.

Saya dan teman-teman diminta untuk mengambil perintah mahkamah menghalang mesyuarat MCA dari berlangsung dan mengisytiharkan ia tidak sah kerana dijalankan secara tidak sempurna dan pemilihan MCA dicemari pengundi-pengundi hantu yang jelas akan memberikan kejayaan kepada taikun korporat Cina itu.

Walaubagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kami. Tidak lama kemudian, Tan Koon Swan ditangkap di Singapura kerana terlibat dalam satu skandal yang dipanggil Krisis Pan-El, yang menyebabkan pasaran saham Malaysia dan Singapura jatuh menjunam.

SK: Bila masanya saudara mengambil keputusan untuk bersama-sama KeADILan?

Selama ini saya mempersoalkan mengapa rakyat masih mengundi Barisan Nasional sedangkan terlalu banyak hal yang berlaku dalam kerajaan sekarang seperti rasuah, penindasan, salah guna kuasa dan sebagainya. Keadaan ini seolah-olah rakyat menyokong jenayah-jenayah yang berlaku. Saya melihat, jika rakyat tidak mampu berdiri untuk mempertahankan hak mereka, maka itu petanda yang buruk sekali. Di negara-negara demokrasi lainnya, rakyat mereka akan bangkit dan bertindak mempertahankan hak mereka. Namun begitu, kita dapat lihat majoriti rakyat hari ini menolak kerajaan sekarang. Kemana-mana kita pergi, ramai yang mengkritik dan marah itu dan ini, tetapi sekadar berani di kedai kopi sahajalah (ketawa). Generasi saya harus bangkit. Jika kita sekadar menunggu seseorang untuk membantu, maka kita tidak akan kemana-kemana. Kita harus berbuat sesuatu. Sememangnya saya mempunyai ramai kenalan dalam KeADILan. Namun bagi saya, segalanya bermula dalam suatu majlis yang dihadiri saudara Anwar Ibrahim di ibu kota tahun lalu. Sebelum ini, saya sekadar mengenali beliau samar-samar, melalui anak guam dan syarikat-syarikat klien saya. Pada pertemuan malam itu, Anwar Ibrahim dan saya bertukar-tukar fikiran dan berbincang mengenai masa hadapan negara. Saya teruja dan Anwar Ibrahim berjaya menyakinkan saya untuk bersama-sama KeADILan.“We need more men, yang mempunyai pengalaman dan kepakaran? kata Anwar Ibrahim kepada saya, dan saya terus membalas “Saya rasa saya harus berbuat sesuatu. Bagaimana boleh saya bantu?”

Tolak tepi soal jawatan. Itu sekadar bonus. Yang penting, fikir bagaimana boleh kita membantu, kita fikir soal tindakan, soal hasil.

SK: Mengapa saudara memilih KeADILan? Kita sedia maklum laluan pembangkang ini penuh dengan tekanan dan cabaran. Dan melihat kepada firma saudara yang mewah ini, apa saudara sudah mempertimbangkan risikonya?

Pada awalnya isteri saya amat tidak bersetuju dengan penglibatan saya. Dia pernah kata yang saya sudah ‘hilang akal’ dan dia enggan bercakap dengan saya lebih tiga minggu lamanya (ketawa).

Saya kata kepada isteri yang saya perlu bersama-sama KeADILan, membantu rakyat dan menegakkan keadilan. Kalau kita boleh membantu, tetapi kita tidak membantu, kita enggan melaksanakan tanggungjawab kita…bagaimana boleh kita lihat diri kita dalam cermin?

Tetap saya bertegas dengan keputusan saya dan beliau menghormati pendirian ini.Bercakap soal risiko, ya memang risiko itu ada. Saya telah berfikir masak-masak akan hal ini dan saya nekad. Jikalau kita berhadapan dengan sesuatu itu seorang diri, maka risiko itu besar. Tetapi jika kita beramai-ramai, bersama-sama dalam perjuangan ini, maka risiko itu menjadi kecil.

Sistem kita tidak akan berubah jika orang ramai enggan berdiri dan mempertahankan hak mereka. Kita lihat MCA, Umno, MIC tidak akan mengubah dasar perkauman mereka kerana itu polisi asal mereka. DAP dan PAS sudah lama suarakan perkara ini tetapi tidak lagi didengari oleh semua orang dari semua latar belakang.

Tetapi di kalangan majoriti yang diam, the silent majority, semakin tidak senang duduk. Mereka menanti sesuatu perubahan, kami menunggu ahli-ahli politik bertukar. Hanya satu parti yang boleh membawa perubahan, parti KeADILan.

Semua dalam parti adalah sama-rata, dan sebenar-benarnya mewakili kesemua kaum dan agama di Malaysia hari ini. Perlantikan pimpinannya dibuat berdasarkan merit, berdasarkan pengalaman dan kebolehan seseorang itu.

Parti KeADILan ialah langkah pertama menuju perubahan Masih ada banyak perkara lagi yang harus dibuat. Amat penting kita sampaikan mesej ini kepada rakyat. Kini ada satu alternatif kepada mereka, alternatif yang lebih baik.

SK: Melihat kepada pengalaman luas saudara menangani kes-kes komersil dan korporat, apa pendapat saudara mengenai Dasar Ekonomi Baru dan ekonomi Malaysia hari ini?

Dalam krisis Pan-El yang telah saya sebutkan sebentar tadi, firma saya mengambil kes-kes komersil, saya menyaksikan sendiri bagaimana payahnya keadaan pada masa itu. Peniaga menderita, syarikat besar dan kecil diancam muflis. Semua orang menerima impak buruk dari Krisis Pan-El ini.

Kami menemui pihak-pihak bank, para pelabur dan para peniaga dan bertukar buah fikiran bagaimana untuk membawa masuk pelabur asing ke negara ini dan menghidupkan semula ekonomi negara.

Dari zaman kejatuhan 1987, pada 1993 keadaan mejadi jauh lebih baik. Ekonomi negara menjadi deras, pasaran saham kencang, pembangunan kencang, klien-klien saya yang cuba menghalang bank dari menyaman kerana muflis, menjadi kaya-raya dan mampu membayar semula hutang bank.

Dalam erti kata lain, saya telah melihat bagaimana ekonomi negara berubah dari baik kepada buruk, dan menjadi baik semula. Saya telah melihat bagaimana program penswastaan dijalankan dan secara praktikalnya terlibat dalam perlaksaan Dasar Ekonomi Baru.

Anak-anak guam kami, adalah syarikat-syarikat antarabangnya terutamanya dari Jepun dan Taiwan masuk dan melabur disini kerana tertarik dengan insentif-insentif yang ditawarkan kerajaan. Syarikat-syarikat besar menubuhkan kilang-kilang mereka di Pulau Pinang, di Johor, di Kuala Lumpur, dan firma saya terlibat melicinkan proses-proses itu.

Dalam erti kata lain, saya terlibat secara praktikal dan amat berbangga kerana terlibat dalam projek sebegitu. Bahkan firma kami juga membantu bukan sedikit usahawan-usahawan tempatan meluaskan capaian mereka ke luar negara, khususnya negara-negara kepulauan Pasifik seperti Fiji.

Kami mencanangkan formula DEB - formula Malaysia - kepada rakan-rakan kami di luar sana. Kami katakan DEB satu formula yang boleh berjaya. Tetapi kemudiannya, saya mula melihat bagaimana formula ini disalahgunakan.

Contohnya Permodalan Nasional Berhad ditubukan untuk manfaat semua. Tetapi kita lihat bagaimana projek-projek penswastaan tidak lagi meniti kepada semua, ia tidak lagi diagihkan kepada institusi-institusi rakyat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji misalannya, tetapi projek-projek itu diagih-agihkan kepada segelintir individu yang berkepentingan.

Kita lihat hanya golongan tertentu sahaja yang mendapat faedah. Kesannya, ada orang yang menjadi kaya, ada yang menjadi mewah, bukan sahaja membeli banglo, tetapi juga helikopter peribadi, atau jet persendirian dan kereta-kereta mewah semua…nampaknya faedah ini hanya dinikmati oleh segelintir.

Jikalau mereka orang-orang kaya ini Bumiputra, ditambah lagi dengan diskaun-diskaun keistemewaan Bumiputera. Mengapa orang kaya yang mampu membeli sebuah banglo diberi diskaun? Bagaimana pula dengan orang kampung? Apa yang mereka dapat? Mereka yang sudah membeli amanah saham PNB, apa manfaat yang mereka terima?

Idea DEB itu bagus, tetapi perlaksanaannya sudah terpesong. Kemudian, dari 1993 dimana ekonomi Malaysia rancak, kita tiba ke krisis ekonomi 1997. Dalam masa yang singkat, ramai yang jatuh muflis. Dari 1997, dan kini 2007, sudah 10 tahun. Apa maknanya?

Cuba lihat, pada 1997 umur saya 40 tahun. Umur ini merupakan masa yang terbaik untuk berbuat apa yang kita mahu, tetapi disebabkan krisis kewangan kita ditimpa kesusahan. Mari kita perhatikan dari 1997 hingga 2007, sepuluh tahun jaraknya, apa perkembangan ekonomi kita?

SK: Bagaimana pula dengan dakwaan kerajaan bahawa ekonomi semakin baik dan pasaran saham menunjukkan perkembangan positif?

Ada beberapa persoalan yang perlu dijawab.

Pertama kita harus lihat dari segi pelaburan asing. Kemasukan pelaburan asing ke Malaysia lebih rendah berbanding Thailand, Indonesia dan Vietnam. Berbanding dahulu, pelabur nampaknya lebih gemar melabur di negara lain berbanding Malaysia.

Kedua, perniagaan melarikan diri ke negara-negara lain, terutamanya perusahaan elektronik, komputer dan mikrochip. Misalannya, Intel sebuah syarikat besar diantara yang pertama tiba disini, dan telahpun mempunyai pejabat di Pulau Pinang, tetapi kini Intel melabur jutaan ringgit Vietnam.

Dan kalau kita tengok amalan perniagaan biasa, kalau faktor ekonominya baik, sesebuah syarikat itu akan melebarkan prasarananya di Pulau Pinang, tetapi itu tidak berlaku. Ini kita harus persoalkan mengapa ia begitu? Mengapa pelabur lari ke Indonesia, Vietnam dan negara-negara rantau Asia lainnya. Apa tindakan yang diambil kerajaan menangani masalah ini?

Menyentuh soal pasaran saham, dakwaan kerajaan agak menghairankan kerana kalau kita kenang kembali zaman kepesatan ekonomi 1993, dimasa pasaran saham melonjak naik, kita dapat melihat orang-ramai berjalan-jalan, membeli-belah di pasaraya-pasaraya, berbelanja di restoran dan berseronok.

Kalau hari ini apabila kita baca di suratkhabar, kita terbaca bahawa pasaran saham naik, tetapi bila kita ke luar tidak nampak pula keadaan semakin pulih. Saya tidak tahu samada orang ramai takut berbelanja atau tidak mempunyai wang untuk berbelanja. Tetapi yang jelas, ada sesuatu yang tidak kena.

Lebih dari itu, kita dapat lihat kos kehidupan semakin meningkat tetapi dalam masa yang sama kualiti kehidupan semakin menurun. Dengan rompakan, gangsterisma, dengan gejala dadah, dengan gejala rogol dan bunuh di sana-sini.Selain dari itu, kita dilanda pula masalah kekurangan gula, kekurangan minyak, kekurangan itu dan ini. Tidak ubah seperti sebuah negara Afrika.

SK: Selaku Bendahari Agung, apa pelan saudara bagi memantapkan kedudukan parti?

Pada pendapat saya, pertama sekali kita harus melihat kepada jentera. Dalam parti ramai yang mahu bekerja, tetapi ‘supporting structure’ masih lemah. Dalam satu organisasi, kita memerlukan ‘support structure’ untuk memantapkan barisan hadapan. Maka pada pendapat saya ‘support structure’ ini harus dikuatkan.

Misalannya, Angkatan Muda dari Johor, Perak dan beberapa negeri lainnya dikerah ke Kuala Lumpur. Maka cabaran ‘support structure’ ini ialah untuk menggunakan secermat dan secekap mungkin sumber dan tenaga kerja parti yang terhad bagi menyokong mobilisasi ini.

Dalam satu mesyuarat Biro Pengurusan, kita telah membincangkan bagaimana untuk memperbaiki isu pengurusan dan perolehan dana, supaya ia lebih cermat dan sebaik mungkin. Kita akan lihat lebih banyak penambahbaikan dan proses sentralisasi akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

SK: Masih menyentuh soal status kewangan KeADILan, apakah kita bersedia untuk menghadapi pilihanraya yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi?

Kita harus sentiasa bersiap-siaga. Kita harus pastikan sumber dan struktur kita bersedia. Pilihanraya boleh diadakan bila-bila masa sahaja.

Pada pendapat peribadi saya, KeADILan mempunyai peluang yang besar untuk menang, tetapi mungkin juga ini satu-satunya peluang yang kita ada. Rakyat semakin tertekan dengan keadaan sekarang, Inflasi yang semakin mencengkam, elemen jenayah semakin parah, rasuah yang diluar kawalan, dan demikian itu rakyat amat tidak senang hati.Saya fikir mereka bersedia untuk memberi peluang kepada kita.

Tetapi soalan yang akan ditanya kepada kita, apakah KeADILan bersedia? Lantaran itu, KeADILan harus berupaya menunjukkan kepada rakyat, yang kita adalah pilihan terbaik bagi mereka.

Biodata William Leong

Dilahirkan di Perak, William Leong Jee Keen memperolehi Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Singapura pada 1981. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan La Salle, Klang dan St John Institution, Kuala Lumpur, beliau seterusnya diterima ke Majlis Peguam Malaysia pada 11 Januari 1982. Dari 1982 hingga 1985, beliau berkhidmat di sebuah firma undang-undang selaku pembantu undang-undang dan seterusnya dilantik sebagai Junior Partner pada 1985.

Pada 1985, William Leong bersama-sama empat peguam lain mengambil-alih pengurusan firma itu lalu menubuhkan sebuah entiti undang-undang yang baru dan mereka sebagai pengasasnya. Dalam tempoh tersebut, firma itu mendapat reputasi sebagai firma undang-undangkomersil, ligitasi, dan korporat yang cemerlang mewakili syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang disenaraikan di Bursa Malaysia, sebahagian besarnya disenaraikan di kalangan syarikay-syarikat Fortune 500. William Leong, seorang suami dan bapa kepada tiga orang anak, memainkan peranan besar dalam penstrukturan berbagai syarikat sekitar 1980an. Kebanyakan dari syarikat-syarikat ini akhirnya maju sebagai syarikat-syarikat korporat terbesar di negara ini.

Pada 1994, William Leong menyertai sector korporat dan diberi amanah memegang beberapa tanggungjawab eksekutif kanan di lembaga-lembaga pengarah syarikat Bursa termasuk Timbalan Pengarah Pengurusan sebuah syarikat tempatan dan Ketua Pegawai Operasi dan NAib Presiden Eksekutif salah satu dari 20 syarikat terbesar di ssebuah Negara Asia Tenggara. Pada 1998, kembali ke arena undang-undang dan menubuhkan firma beliau, William Leong & Co.

No comments:

Post a Comment